TMJ dedah punca sambar Lowry

KUALA LUMPUR: Kemasukan pemain import baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Shane Lowry adalah bertujuan mengukuhkan benteng pasukan itu bagi mengharungi saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Perkembangan itu dimaklumkan pemilik pasukan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas meninggalkan komen beliau pada hantaran Instagram Johor Southern Tigers yang mengumumkan kemasukan pemain itu, hari ini.

Dalam masa sama, Tunku Ismail sempat berkongsi perancangan pasukan itu dengan mereka dijangka menyambar satu lagi pertahanan import untuk mengharungi musim depan.

“Partner dengan Mauricio untuk ACL. Apabila liga bermula, dia back up Mauricio in case ada apa-apa berlaku atau kecederaan, kita masih ada foreign defender. Hong Wan from Wolverhampton report untuk tempat Haris sebagai local.

“Kita ada lagi seorang Spanish defender with Asian passport by December from La Liga,” kata Tunku Ismail.

Terdahulu, juara Liga Super tujuh musim berturut-turut itu tampak tidak berdiam diri dalam tempoh saingan liga berehat apabila mengikat pemain kelahiran Australia, Shane Lowry.

Menerusi kenyataan di laman rasmi Johor Southern Tigers, skuad Harimau Selatan mendapat pemain itu secara perpindahan percuma dan ia pasti bakal menambah kekuatan di posisi tengah dan pertahanan bagi menggantikan Hariss Harun yang kini berhijrah ke kelab Singapura, Lion City Sailors FC.

“Lowry sebelum ini menyertai kelab Al Ahli dalam saingan Liga Qatar dan pernah beraksi bersama beberapa kelab Liga Inggeris iaitu Leeds United, Sheffield United, Milwall dan Leyton Orient.

“Malah, Lowry pernah beraksi dengan kelab Perth Glory dalam saingan Liga Australia (Liga-A) pada musim 2016 hingga 2019 sebelum berhijrah ke Qatar,” kata kenyataan itu.

Pada 2006, Lowry yang kini berusia 31 tahun pernah menyertai skuad Bawah 17 tahun Republik Ireland dan pada 2008 hingga 2009 dia juga menyertai skuad Bawah 21 tahun Republik Ireland.

Selain itu, dia pernah dipanggil menyertai skuad kebangsaan Australia pada 2021.

sumber : BH