‘Steady’ TMJ ucap tahniah [VIDEO]

Kuala Lumpur: Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilihat bersikap profesional apabila secara terbuka mengucapkan tahniah kepada Terengganu FC (TFC) yang menewaskan pasukannya 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.

Ia dapat dilihat menerusi satu video yang tersebar di media sosial apabila Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu memasuki bilik persalinan pasukan TFC selepas perlawanan dan berjumpa dengan anak buah Nafuzi Zain sambil mengucapkan tahniah atas kemenangan mereka.

“Saya datang untuk ucap tahniah sahaja. Semoga berjaya untuk tahun ini,” kata TMJ ketika bertemu dengan barisan pemain TFC di dalam bilik persalinan.

TMJ juga dilihat sempat bergurau dengan beberapa tonggak import TFC.

Pada aksi semalam, jaringan Mohamad Hakimi Abdullah minit ke-57 sudah cukup untuk TFC membawa pulang tiga mata berharga dari gelanggang keramat JDT.

Kemenangan itu menyaksikan TFC kini hanya dua mata di belakang JDT sekali gus menyaksikan perebutan untuk kejuaraan Liga Super masih terbuka luas.

sumber : Metro Arena