Sejarah terus tercipta Stadium Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR: ‘Jenama’ Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor terus melonjak selepas gelanggang skuad Harimau Selatan itu mencipta sejarah sebagai tuan rumah ‘Spartan Stadion’ pertama di Malaysia.

Dijangka bermula pada 3 dan 4 September ini, ”Home of the Southern Tigers’ yang ikonik itu terus membuktikan daya tarikannya yang tersendiri khususnya selepas merangkul anugerah ‘Stadium of the Year’ oleh StadiumDB.com, bulan lalu.

Kini, Stadium Sultan Ibrahim tersenarai antara beberapa stadium terpilih di seluruh dunia yang menjadi tuan rumah acara Spartan Stadion yang terkenal di peringkat antarabangsa pada suku ketiga tahun ini.

Spartan Stadion adalah perlumbaan sejauh 5 kilometer (km) dengan 20 rintangan yang diadakan di stadium sukan pro terkenal di seluruh dunia. Sebagai rekod, Spartan Race yang ditubuhkan di Amerika Syarikat sejak 2007 itu sudah berkembang ke lebih dari 30 buah negara dengan pelbagai jenis acara.

Dalam satu kenyataan, pemilihan stadium itu membuktikan kemampuan JDT untuk menarik minat dan kolaborasi dengan jenama antarabangsa selepas sudah pun menjalin kerjasama bersama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), NIKE, HUBLOT, SWAG Electric Vehicle dan Subway.

“Kerjasama dengan jenama antarabangsa memperluaskan lagi nilai dan pendedahan jenama JDT ke peringkat global dan ini menjana pendapatan diperolehi melalui penajaan kerana semakin besar jenama JDT, semakin besar pulangan pelaburan bagi penaja.

“Jangkauan luar biasa JDT melalui media sosial — antara yang terbaik di Asia Tenggara — juga memberikan lebih banyak perhatian kepada jenama antarabangsa.

“Harimau Selatan memberi contoh yang baik kepada kelab-kelab lain di rantau ini mengenai bagaimana pengurusan yang progresif dengan visi yang jelas dapat membantu memperkembangkan jenama di peringkat antarabangsa. Menariknya, JDT baru berusia lapan tahun.

“Berkaitan Spartan Stadion, ia akan menarik perhatian peminat dari dalam dan luar negara. Walaupun penyertaan antarabangsa akan bergantung pada situasi COVID-19, namun ia tetap akan memberikan JDT lebih banyak pendedahan bertaraf antarabangsa dan akan mengukuhkan lagi lokasi Stadium Sultan Ibrahim di peta dunia,” kata pasukan itu.

sumber : BH