Sakit hati dengan JDT?

Kuala Lumpur: Kegagalan meraih tiga mata penuh dalam dua aksi Liga Super menyaksikan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) mula ‘diserang’ dengan pelbagai kritikan termasuk desakan untuk memecat ketua jurulatihnya, Benjamin Mora.

Kekalahan 0-1 kepada Terengganu FC pada minggu lalu dan terbaharu diikat 1-1 oleh Kuala Lumpur City FC mula menimbulkan rasa tidak puas hati segelintir penyokong yang mahu kedudukan Mora dinilai semula.

Bagaimanapun, pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil mempertahankan pasukannya dan membidas sikap ‘lalang’ segelintir penyokong yang tidak setia terutama di saat sukar ketika ini.

Katanya, beliau berjanji akan terus bersama pasukan hingga penghujung musim biarpun berisiko untuk kehilangan mahkota kejuaraan musim ini.

“Ini bukan masa untuk salahkan sapa sapa. Ini masa kita berjuang hingga habis bersama. Kalah menang kita lawan! susah senang bersama. Bukan bersama ketika menang saja. Awak sakit hati?

”Bayangkan orang yang letak duit berjuta-juta, tetapi saya berjanji susah senang, kalah menang ataupun tiada piala saya bersama-sama kelab JDT ini, ‘never leave a man behind’. “Kita Johor, jangan terikut budaya tuding jari. Apa-apa berlaku saya bertanggungjawab,” katanya di laman sosial Instagram.

Sementara itu, pengendali JDT, Benjamin Mora mengganggap kemerosotan prestasi anak buahnya adalah normal dalam bola sepak.

Menurutnya, kegagalan mengutip mata penuh dalam dua aksi Liga Super bukan disebabkan masalah dalaman pasukan sebaliknya kemenangan yang dicari belum kunjung tiba.

Malah katanya, skuad Harimau Selatan bukan ‘Superman’ yang mampu meraih kemenangan dalam setiap perlawanan.

“Memang kita kehilangan mata, ia normal dalam bola sepak. Tetapi tiada apa yang berlaku (dalam pasukan), kita cuma tidak menang. Kita masih di tangga teratas liga dan cuba mengekalkan kedudukan itu. Tiada keraguan mengenai kesungguhan para pemain, mereka sudah buat dengan sangat bagus.

”Kita boleh lihat bagaimana mereka tidak henti berlari, melakukan hantaran, gerakan, cuma kita tidak menang itu sahaja, inilah bola sepak. Saya lihat satu lagi permainan berbeza dari JDT, pemain-pemain bermain sebagai satu pasukan dan membuat yang terbaik.

“Setiap pasukan akan mengalami fasa sukar dalam satu satu musim, itu biasa kita berada lama di tangga teratas dan sedang melalui saat sukar. Kita bukan Superman, yang penting kita fokus, kerja keras dan terus pandang ke depan,” katanya.

Kemampuan JDT untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super musim ini sedikit goyah, malah misi untuk meraih gelaran buat kali kelapan berturut-turut kelihatan sukar.

Skuad Harimau Selatan ketika ini mengumpul 24 mata daripada 11 aksi dan hanya dibezakan satu mata dengan Kedah Darul Aman FC di tangga kedua, manakala Terengganu FC ketiga dengan 21 mata.

sumber : Arena Metro