Penyudah tumpul punca Kelantan FC tewas

SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) kembali mendapat rentak terbaik apabila melakar kemenangan 2-1 ke atas Kelantan FC dalam saingan Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, sebentar tadi.

Kemenangan kelima daripada lapan perlawanan itu sekali gus menebus kekecewaan mereka selepas tewas kepada Kelantan United FC, 2-3 dalam perlawanan sebelum ini di gelanggang sama

Dalam aksi malam tadi, NSFC terlebih dulu berada di depan menerusi jaringan kapten pasukan, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak pada minit keempat. Jaringan itu jelas menaikkan semangat pemain dalam usaha mereka melakar kemenangan.

Pada minit ke-18, anak buah K Devan berpeluang melebarkan lagi jurang gol, namun percubaan leret dari luar kotak penalti oleh Thierry Akono diselamatkan Mohd Farizal. Usaha Kelantan untuk menyamakan kedudukan tidak tercapai sehingga berakhir babak pertama.

Bersambung babak kedua, Kelantan FC dilihat memperkemaskan semula gerakan mereka dan usaha itu membuahkan hasil apabila Mario Arques menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-54.

Kedudukan itu bagaimanapun tidak bertahan lama, apabila Zaquan Adha sekali lagi memperagakan aksi mantapnya apabila bola sepakan lencong dari jarak 25 meter sebelah kiri pintu gol pelawat menerjah penjuru kanan untuk gol kedua NSFC pada minit 69.

Anak buah Marco Ragini terus berusaha untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata tidak kesampaian apabila kedudukan 2-1 yang menyebelahi tuan rumah kekal sehingga ke wisel penamat.

sumber : BH