Penyu menangis di hadapan penonton sendiri

KUALA NERUS: Seminggu selepas mengejutkan Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-0, Terengganu tiba-tiba hilang arah apabila tumpas 1-4 kepada Penang FC dalam aksi Liga Super di laman sendiri sebentar tadi.

Penang yang dibimbing Thomas Trucha sebaliknya melonjak ke tangga ketiga dengan 22 mata manakala Terengganu jatuh ke kedudukan keempat dengan 21 mata.

Skuad Harimau Kumbang membuka tirai jaringan pada minit kelapan melalui tandukan Sheriddin Boboev selepas penyerang Tajikistan itu menyambung sepakan sudut ketua pasukan, Endrick Dos Santos

Sorakan hampir 6,000 penyokong Terengganu FC semakin tenggelam apabila tandukan Casagrande disambar Endrick untuk menggandakan kedudukan 2-0 pada minit ke-21.

Bersambung di babak kedua, Sang Penyu bermula agresif dengan percubaan berturut-turut Hakimi Abdullah (m-48) dan Marcel N’Guessan (m-53) namun dinafikan See Tian Kiat.

Serangan berterusan Terengganu FC hanya berhasil pada minit ke-59 menerusi sepakan kencang Hakimi di depan kotak penalti yang menerjah jaring untuk menjadikan kedudukan 1-2.

Kerancakan tuan rumah menyerang memakan diri apabila Casagrande mudah menanduk hantaran lambung bek kanan, Quentin Cheng pada minit ke-65 menewaskan Mohd. Suhaimi Husin.

Menerusi gerakan sama di sebelah kanan, Casagrande menambah luka Terengganu FC dengan gol kedua peribadi dan keempat Penang FC pada minit ke-68 dan kedudukan 4-1 kekal sehingga tamat.

sumber : UM