Penyokong Selangor balik rumah dengan senyuman

PETALING JAYA: Hatrik Ifedayo Olusegun membantu Selangor melakar kemenangan 3-1 ke atas Perak dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

Kejayaan itu bukan sahaja membuat penyokong Red Giants pulang dengan senyuman tetapi turut memberi kelegaan kepada pengendali Selangor, Karsten Neitzel yang meraih kemenangan ketiga selepas membimbing pasukan itu dalam lapan perlawanan.

Beraksi sekali lagi di hadapan penyokong sendiri, Selangor menunjukkan aksi cukup bersemangat apabila mengawal hampir keseluruhan permainan babak pertama.

Jaringan pertama yang dinantikan penyokong Merah Kuning, hadir pada minit ketujuh menerusi satu serangan dari sebelah kanan kawasan Perak, bermula dengan hantaran lintang rendah pertahanan dari Ghana, Jordan Ayimbila mudah disudahkan Ifedayo untuk gol pembukaan perlawanan.

Pemenang kasut emas musim lalu itu, sekali lagi membuktikan ketajamannya menerusi gol kedua pada minit ke-31 apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti selepas pengadil perlawanan, Zamzaidi Katimin susulan terjahan daripada belakang dilakukan Leandro terhadap Oliver Buff.

Sebelum memasuki bilik persalinan, Perak berpeluang untuk merapatkan kedudukan namun percubaan kencang J.Partivan gagal mengatasi penjaga gol tuan rumah, Khairulazhan Khalid.

Bersambung babak kedua, Selangor dilihat terus meningkatkan asakan ke gawang pasukan pelawat dan mereka hampir memperolehi gol ketiga namun tandukan Buff sekadar melewati palang.

Bos Gaurus sekali lagi dihidangkan peluang terbaik untuk menjaringkan gol namun percubaan pemain gantian, Zulkifli Zakaria pada minit ke-65 dalam kotak penalti gagal menepati sasaran.

Ifedayo melengkapkan hatrik pertamanya musim ini menerusi tandukan pada minit ke-71, berpunca daripada sepakan sudut yang dilakukan Nor Hakim Hassan sekali gus memberi kegembiraan buat 1,360 penyokong setia Red Giants.

Perak memperolehi gol saguhati pada minit terakhir perlawanan menerusi jaringan pemain gantian, Farid Khazali.

sumber : UM