Peluang Kedah rampas kembali tempat kedua

KUALA LUMPUR: Kedah Darul Aman (KDA) FC berpeluang merampas kembali tangga kedua Liga Super dari Terengganu FC (TFC) sekiranya mampu menewaskan Melaka United FC di Stadium Hang Jebat, malam ini.

Jika sekadar melihat kedudukan dalam carta dan prestasi sepanjang 10 perlawanan ketika ini, skuad Lang Merah boleh dikatakan tidak berdepan masalah besar untuk mencuri tiga mata penting dari gelanggang skuad Hang Tuah.

Prestasi lebih baik yang dipamerkan anak buah Aidil Sharin Sahak berbanding skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu dapat dibuktikan menerusi kedudukan mereka yang berada dalam kelompok tiga teratas.

Kejayaan bangkit di saat akhir untuk menewaskan Kuala Lumpur City FC di gelanggang sendiri, Jumaat lalu turut dilihat menjadi antara motivasi yang pasti dibawa Kedah menuju ke Stadium Hang Jebat.

Biarpun berkelebihan dari segi prestasi semasa, namun harus diingat bahawa Melaka United juga pasukan yang mampu mencipta sesuatu diluar jangkaan.

Malah, berdasarkan rekod pertemuan Kedah dan Melaka United dalam enam perlawanan terakhir juga seimbang dengan kedua-duanya meraih tiga kemenangan.

Sama seperti Kedah, skuad Hang Tuah turut mendapat suntikan motivasi dari aksi sebelum ini selepas berjaya kembali ke landasan kemenangan apabila menewaskan Perak 1-0 di gelanggang lawan.

Mungkin motivasi itu tidaklah terlalu besar, namun harus diingat skuad Melaka United memiliki kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri yang sudah pasti tidak rela melihat pasukan mereka tewas.

Jika melihat kepada keputusan dalam 10 perlawanan, anak buah Zainal Abidin sememangnya bukan berada pada prestasi yang konsisten jika dibandingkan dengan KDA apabila mereka hanya menang tiga kali, empat kali seri dan tewas tiga kali.

sumber : BH