Pahang ada ramuan hadapi JDT

Kuantan: Dollah Salleh mengesahkan pertahanan import, Herold Goulon tidak beraksi apabila Sri Pahang FC melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Ketua jurulatih itu berkata, kecederaan yang dialami pemain import Perancis itu menjejaskan persediaan pasukan itu berdepan Harimau Selatan.

“Namun, di sebalik ketiadaan Goulon, Muslim Ahmad yang juga kapten pasukan dan Jadid Ilias kembali berada dalam senarai pemain utama.

“Mereka kembali bersama pasukan selepas menjalani penggantungan satu perlawanan. Kehadiran Muslim dan Jadid diharap membantu memperkasakan pasukan,” kata Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan.

Ditanya senarai pemain yang akan diturunkan malam esok, Dollah belum lagi memuktamadkan termasuk sama ada menyandarkan kepada dua penyerang import dalam kesebelasan utama.

Katanya, setakat ini, tiada lagi kata putus memandangkan prestasi kurang memuaskan yang dipersembahkan dua pemain terbabit dalam usaha mempertajamkan bahagian serangan pasukan.

“Kemungkinan Yevhen Bokhashvili dan Pedro Henrique bergantung kepada prestasi semasa mereka kerana Sri Pahang berdepan JDT yang kini berada pada prestasi terbaik.

“Cuma apa yang diharapkan ialah semua pemain perlu lebih bersedia dan fokus sepanjang 90 minit perlawanan,” katanya.

Selepas lapan perlawanan, Sri Pahang menghuni dua tangga tercorot Liga Super dengan hanya mengutip lima mata.

sumber : Metro Arena