Mana semangat kesukanan Penyu? – Benjamin Mora

JOHOR BAHRU: Benjamin Mora akur dengan kekalahan pertama Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini, namun apa yang mengecewakan jurulatih itu adalah sikap kurang semangat kesukanan ditunjukkan Terengganu FC malam tadi.

Dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, juara tujuh kali berturut-turut itu dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada Terengganu.

Kata Mora, tindakan anak-anak buah Nafuzi Zain yang mudah terjatuh dengan alasan cedera, selain suka memperlahankan perlawanan menganggu tempo permainan.

“Mereka guna apa saja cara untuk menghilangkan momentum JDT dengan sering melambatkan permainan dan membuang masa.

“Pemain lawan mula menjatuhkan badan dengan alasan mengalami kecederaan, bagi saya itu semua tiada semangat kesukanan.

“Mereka tahu sukar nak kalahkan JDT dan sebaik saja mendahului, kesempatan tersebut digunakan sepenuhnya untuk mengganggu momentum permainan dan itu strategi mereka.

“Bagi saya, cara itu menjejaskan keindahan permainan bola sepak yang sepatutnya dimainkan dengan lebih taktikal.

“Mana hilangnya semangat kesukanan? Mereka juga beraksi dengan semua pemain berkampung di kawasan sendiri dan permainan Terengganu menyukarkan kami mencipta jaringan tapi rasionalnya biarlah bermain bola sepak dengan permainan terbuka dan bukan jatuhkan badan dan lewatkan permainan,” katanya.

Mora bagaimanapun menegaskan, kekalahan itu tidak menjatuhkan semangat pemainnya, apatah lagi mereka masih menerajui liga.

Selepas 10 perlawanan, JDT mengungguli Liga Super dengan 23 mata, dua mata di depan Terengganu.

sumber : UM