Lang Merah patah sayap

ALOR SETAR: Rekod tanpa kalah Kedah dalam enam aksi Liga Super akhirnya lebur selepas tumpas 1-2 kepada Terengganu FC di Stadium Darul Aman di sini, malam ini.

Kekecewaan skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak berganda apabila dua pemain mereka, Fadzrul Danel dan Rodney Celvin dilayangkan kad merah oleh pengadil Noor Azriel Baharudin di penghujung babak perlawanan.

Turun dengan misi mencari kemenangan kelima berturut-turut, skuad Lang Merah bagaimanapun dihukum oleh sepakan penalti David da Silva dan Adam Azmi Murad.

Biarpun mendahului 1-0 menerusi jaringan sendiri Muhammad Mohd. Faudzi, namun tuan rumah gagal menyekat kebangkitan skuad Penyu.

Kemenangan pasti melegakan Terengganu yang tiba di Alor Setar dengan rekod kurang baik, gagal memenangi empat perlawanan

Kedah bermula garang, malah pemain muda mereka, Muhammad Ariff Farhan Md. Isa hampir mencetak nama sebagai penjaring gol pada 10 minit tetapi penjaga gol pelawat, Mohd. Suhaimi Husin kental menjaga gawang.

Terengganu FC yang mahu memburu mata di gelanggang lawan turut meningkatkan rentak permainan dengan percubaan Faisal Halim yang hampir merobek jaring pada minit ke-15.

Da Silva juga mendapat peluang pada minit ke-22, namun percubaan dari sebelah kiri gawang ditangkap kemas penjaga gol Kedah, Shahril Saari.

Usaha Kedah untuk mencari gol pertama akhirnya tiba pada minit ke-39 apabila Muhammad tertampan bola percubaan Rabih Ataya.

Bagaimanapun, di hujung minit babak pertama, Terengganu dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain pertahanan Kedah, Ariff Farhan.

Da Silva menyempurnakan sepakan itu untuk menewaskan Mohd. Shaahril.

Memasuki babak kedua, gerakan menarik Muhammad Azam pada minit ke-60 memberi gol kemenangan skuad Penyu.

Kedah yang mengalami kekalahan kedua musim ini bagaimanapun masih kekal di tangga kedua dengan 16 mata, satu mata mengatasi Terengganu yang menghuni tempat ketiga.

sumber : UM