KUFC lebur rekod Negeri Sembilan

Seremban: Rekod tanpa kalah Negeri Sembilan FC (NSFC) lebur apabila tewas kepada Kelantan United FC (KUFC), 2-3, dalam saingan Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Ini adalah kekalahan pertama NSFC selepas tujuh perlawanan.

Biarpun beraksi di laman sendiri dengan kehadiran 1,086 orang penyokong buat julung kalinya, namun ia tidak mampu menidakkan keupayaan pelawat yang mempamerkan aksi agresif dan penuh bersemangat.

Skuad Hobin Jang Hobin terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Zaquan Adha Abd Radzak, tidak sampai seminit perlawanan bermula.

Jaringan itu berpunca daripada hantaran pemain tengah, Beom Geom Bae dari sebelah kiri pintu gol pelawat sebelum bekas pemain kebangsaan itu menanduk kemas ke dalam gawang sekali gus menewaskan Mohamad Fikri Che Soh.

NSFC mendapat peluang melebarkan lagi penguasaan, bagaimanapun sepakan bola mati oleh Beom Geun pada minit ke-10, dapat diselamatkan Mohamad Fikri.

Begitupun jaringan Zaquan itu tidak bertahan lama apabila Alfusainey Gassama menyamakan kedudukan menerusi tandukan pada minit ke-20 sekali gus menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd Muhaimin Mohamad, untuk mengikat kedudukan 1-1.

Hasil jaringan penyamaan itu membolehkan pasukan Kelantan United dilihat bertindak lebih agresif dengan melakukan beberapa gerakan menarik dan mencabar bahagian benteng tuan rumah.

Namun begitu skuad Hobin Jang Hobin yang mengharapkan kemenangan selepas diikat seri tanpa jaringan dengan Kuching City FC di gelanggang sama, minggu lalu juga dilihat tidak berputus asa untuk mendapatkan gol.

Gandingan Zaquan Adha dengan Alain Thierry Akono di barisan depan tampak efektif dengan beberapa percubaan berikutnya ke arah pintu gol pelawat.

Seminit sebelum berakhir babak pertama skuad bimbingan K Devan menerima tamparan apabila pemain tengah Saiful Ridzuwan Selamat diperintah keluar padang oleh pengadil, Muhammad Aqmalhakin Abdul Rahim apabila pemain terbabit menerima kad kuning kedua selepas dia mengkasari Muhammad Asraff Aliffuddin Yazin di luar kotak penalti.

Negeri Sembilan yang beraksi 10 pemain dilihat terus menerima tekanan apabila berlalu enam minit babak kedua, gawang tuan rumah itu bocor lagi menerusi tandukan Alfusainey pada minit ke-51, sekali gus meletakkan Kelantan United di depan.

Akono kemudian menyamakan kedudukan 2-2 menerusi tandukan pada minit ke-59.

Bagaimanapun, Muhammad Hariz Kamarudin kemudian meletakkan sekali lagi Kelantan United di depan hasil jaringan di minit ke-64.

Hasrat Negeri Sembilan untuk sekurang-kurangnya mengikat kedudukan seri tidak kesampaian sehingga ke wisel penamat walaupun berusaha keras mendapatkan gol pada lewat permainan dan kedudukan 3-2 yang menyebelahi pasukan pelawat, kekal.

sumber : metro arena