KDA FC sedia belasah JDT

ALOR SETAR: Selepas mengharungi 11 perlawanan, pertemuan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super malam ini menyaksikan Kedah akhirnya dapat menurunkan kesebelasan terbaik buat kali pertama.

Faktor tersebut amat mengujakan penyokong tuan rumah, apatah lagi mereka hanya dipisahkan dengan satu mata di belakang JDT.

Kecuali Fadzrul Danel Nizam yang menjalani penggantungan empat perlawanan, pemain utama lain bebas daripada penggantungan mahu pun kecederaan.

Situasi itu memberi lebih pilihan kepada jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak untuk me­rangka strategi terbaik selepas lebih banyak menurunkan pemain muda di awal musim.

Kata Aidil, pasukannya cukup bersemangat untuk berdepan JDT dan menebus kekalahan 0-2 dalam aksi pertama Mac lalu.

“Setakat sekarang, semua nampak baik dan pemain amat bermotivasi tinggi.

“Kemenangan ke atas Melaka minggu lalu membakar sema­ngat pemain, namun ketiadaan penyokong di stadium agak menyedihkan kerana tiada ertinya bola sepak tanpa penyokong,” katanya.

Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar turut mengakui, kehadiran penyokong di stadium banyak membantu pemain, terutama bagi mencatat kemenangan biar pun ketinggalan di minit-minit awal permainan.

“Apakan daya demi keselamatan semua, perlawanan ini terpaksa dilaksanakan secara tertutup.

“Namun kami tetap memohon doa semua agar kami berjaya mencatat keputusan terbaik. Insya-Allah kami akan berusaha bersungguh-sungguh dan mengekalkan momentum sebelum ini,” katanya.

sumber : UM