KDA FC jalani suntikan vaksin dos pertama

Alor Setar: Pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) melakukan persiapan awal apabila menerima suntikan vaksin dos pertama melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang diadakan semalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Media KDA FC, proses vaksinasi berkenaan dijalankan di Klinik Kesihatan Kuala Kedah pada petang semalam yang membabitkan semua pemainnya yang didaftarkan pada musim ini termasuk jurulatih, pegawai serta pihak pengurusan yang disenaraikan sebagai penerima dos pertama vaksin Sinovac.

“Pihak pengurusan KDA FC mengambil langkah proaktif dengan mendaftarkan pasukan KDA FC sebagai penerima Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Ini bagi memastikan keserasian kesihatan pemain dalam tempoh vaksinasi ini selaras dengan keperluan untuk merentas negara sekitar bulan Jun nanti bagi kejohanan Piala AFC 2021.”

“Dos seterusnya akan dilakukan selepas tempoh matang 21 hari.” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC Khamal Idris Ali berkata, pihaknya bersyukur Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan membabitkan dos pertama selesai dilakukan ke atas pasukan bola sepak KDA FC.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam memastikan Program Imunisasi ini berjalan dengan lancar dan semoga pemain terus bersemangat untuk aksi seterusnya.” katanya.

KDA FC bakal berentap bersama tiga pasukan dalam Kumpulan H untuk aksi kejohanan Piala AFC Zon ASEAN yang dijadual bermula pada 22 hingga 28 Jun depan dengan saingan diadakan di Singapura.

sumber : Metro Arena