JDT perlu awasi helah TFC

Johor Bahru: Cabaran Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang 10 aksi liga tampak berliku apabila berdepan pencabar terdekat, Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Apatah lagi momentum kemenangan yang diraih skuad kendalian Nafuzi Zain tampak konsisten walaupun dipisahkan dengan perbezaan lima mata tatkala JDT sudah mengumpul 23 mata dan pastinya aksi malam esok bakal menampil corak permainan berintensiti tinggi kedua-dua pasukan.

Bagi pengendali JDT, Benjamin Mora bersikap berhati-hati membuat persiapan mengharungi aksi saingan liga tidak kira sama ada pasukan yang bakal ditentang berada di kelompok bawah atau di kelompok atas liga.

Beliau berkata, persiapan yang rapi dan tidak memandang rendah pasukan terhadap lawan yang akan ditentang membolehkan tekanan yang dihadapi mampu dikurangkan kerana ia penting bagi mengelak pemain berada dalam tekanan.

“Jika pemain berada dalam tekanan, sudah pasti akan menjejaskan konsentrasi mereka apabila beraksi di padang. Oleh itu kami ada cara untuk meredakan tekanan dan semua pemain tampak begitu selesa ketika menjalani latihan.

“Setiap pasukan yang menentang JDT akan di dorong oleh semangat mahu tewaskan kami. Oleh itu kami tidak boleh bersikap sambil lewa apabila beraksi di padang tak kira lawan itu berada di posisi bawah liga atau kelompok teratas.

“Saya tahu Nafuzi (Zain) melaksanakan tugas dengan baik selaku jurulatih selepas membentuk barisan pemain muda yang terserlah ketika dalam permainan. Mereka ada kelebihan dan kami juga ada kelebihan. Apa yang lihat nanti ia bakal aksi berintensiti tinggi,” kata Mora.

Skuad Harimau Selatan akan mempertaruhkan Bergson Da Silva yang kini meledak sembilan gol selepas membuat tujuh penampilan dan pastinya gerakan di posisi tengah yang bakal diterajui Leandro Velazquez dan sama ada Afiq Fazail atau Nazmi Faiz Mansor memainkan peranan buat pemain import dari Brazil itu meneruskan sentuhan berbisanya.

Kelibat Safawi Rasid yang dimasukkan pada babak kedua ketika menentang Sri Pahang FC (SPFC), 16 April lalu akan kembali bermain di posisi sayap kanan tatkala merehatkan Arif Aiman Hanafi yang kerap diturunkan.

Apapun, benteng pertahanan harus mengawasi kelicikan pemain import dari Mali, Makan Konate yang tampak semakin berbisa dan perlu juga berjaga-jaga dengan kebangkitan David da Silva yang mampu membuat skuad Harimau Selatan terlepas menggenggam tiga mata dalam perlawanan itu.

sumber : Metro Arena