JDT kembali catat kemenangan

ALOR SETAR: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora lega anak buahnya kembali mencatatkan kemenangan susulan kejayaan menundukkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 1-0 di Stadium Darul Aman, di sini, malam tadi.

Sepakan penalti Bergson da Silva pada masa kecederaan separuh masa kedua memastikan skuad Harimau Selatan mengatasi Lang Merah selepas Mohamadou Sumareh dijatuhkan pertahanan Renan Alves dalam kotak penalti.

“Anda boleh lihat, ini perlawanan yang sukar, dan saya rasa ini adalah antara perlawanan sukar dalam tahun ini kerana Kedah sudah meningkatkan corak dan strategi permainan mereka.

“Namun pemain JDT menunjukkan kerjasama baik walaupun mungkin ini bukan perlawanan terbaik. Tetapi tetap berkesan dengan satu gol yang memberi tiga mata dan itu sangat penting untuk setiap perlawanan kami.

“Kami gembira kerana melalui kesungguhan dan corak permainan tersusun, kami dapat menguasai perlawanan ini dengan lebih baik. Pemain gantian yang masuk juga menunjukkan peningkatan dan tenaga baharu buat kami,” katanya selepas perlawanan.

Sebelum pertemuan dengan Kedah, pasukan JDT bagaikan hilang taring selepas tewas 0-1 kepada Terengganu FC (TFC) pada aksi 24 April lalu dan seri 1-1 dengan Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Jumaat lalu sekali gus gagal meraih tiga mata disasarkan dalam setiap perlawanan.

Selepas kemenangan itu, JDT kini menggungguli persada Liga Super dengan 27 mata manakala Kedah ditangga ketiga dengan 23 mata.

Menyentuh suasana tegang sebaik tamat babak pertama berakhir, Mora berkata pihaknya juga tidak menggemari apa yang berlaku.

“Sudah tentu kedua-dua pasukan mahukan kemenangan sementara masing-masing berasakan mungkin ada perkara yang tidak adil. Dalam suasana tegang perlawanan itu, perkara sebegini boleh berlaku. Namun begitu, kami tetap profesional dan kami menghormati logo kami, pasukan kami JDT dan begitu juga pasukan Kedah,” katanya.

Sementara itu, pertahanan skuad Harimau Selatan, Aidil Zafuan berkata kemenangan ke atas Kedah itu adalah satu perkara positif untuk pasukannya dalam usaha mengharungi aksi seterusnya selepas ini.

“Bukan mudah untuk kekal di atas liga. Kemenangan ini juga pembakar semangat untuk pasukan mendapatkan kemenangan seterusnya selepas ini,” katanya.

sumber : BH