JDT II, Kelantan FC kongsi mata

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim II (JDT II) gagal mengambil kesempatan beraksi di laman sendiri apabila diikat 1-1 Kelantan FC pada aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini, sebentar tadi.

Dengan keputusan itu, skuad kendalian Rafael Gil Sanchez kekal di tangga ketiga liga selepas mengumpul 15 mata manakala Kelantan FC berada di tangga keempat dengan himpunan 14 mata.

Walaupun skuad kendalian Rafael Gil Sanchez berada di tangga teratas liga namun ia hanya dipisahkan perbezaan jaringan dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) yang kemungkinan akan merampas semula kedudukan itu apabila berdepan Sarawak United malam esok.

Dalam aksi malam tadi, sebaik babak pertama bermula, tuan rumah menguasai permainan dan melakukan percubaan pertama pada minit kelapan menerusi rembatan deras Mohamad Rafiefikri Rosman di luar kotak penalti namun ditangkap kemas Nik Mohd Amin Ahmad.

Selepas itu, rembafan deras Stuart John Wilkin pasa minit ke-13 dari luar kotak penalti turut masih belum mampu menewaskan Nik Mohd Amin.

Bersambung babak kedua, Wilkin terlepas peluang terbaik merobek gawang The Red Warriors (TRW) pada minit ke-47 selepas menerima bola umpanan kapten Nicolas Fernandez, namun bola rembatan pemain kacukan Malaysia -England itu sedikit tersasar.

Serangan bertali arus tuan rumah akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-59 berpunca daripada sepakan lintang Wilkin membuka ruang buat Fernando Rodriguez yang menyelinap di celah pertahanan TRW sambil menampan bola sekali gus mengelirukan Mohd Nik Amin yang sekadar melihat bola masuk ke gawang.

Bagaimanapun, pelawat bangkit menyamakan jaringan pada minit ke-71 selepas bola umpanan Yusri Yushasmadi membolehkan pemain gantian Nurshamil Abd Ghani yang tidak di kawal merembat leret menewaskan Haziq Nadzli untuk kedudukan muktamad 1-1.

sumber : BH