Hatrik Mintah lonjak Terengganu II

KUALA TERENGGANU: Jaringan hatrik Jordan Mintah membantu Terengganu FC II mengatasi Kelantan United 4-1 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.

Penyerang kelahiran Ghana itu membuka tirai jaringan seawal minit keempat selepas dia dijatuhkan dalam kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol yang tersalah arah.

Pada minit ke-32, Mintah menyudahkan sepakan penalti keduanya apabila bola terkena tangan pertahanan Kelantan United, Mohd. Hakim Ismail dalam kotak penalti.

Kelantan United kendalian Akira Higashiyama berjaya merapatkan jurang menerusi Alfusainey Gassama pada minit ke-40 untuk membawa kedudukan 1-2 ke bilik persalinan.

Tuan rumah terus garang selepas rehat menyaksikan tandukan Argzim Redzovic yang menerima umpanan Amirul Syazwan Nor Azmi memberikan gol ketiga pada minit ke-55.

Mintah melengkapkan hatrik dengan bergaya pada minit ke-70 hasil sepakan lencong dari dalam kotak penalti untuk tuan rumah semakin selesa mendahului 4-1.

Kemasukan penyerang, Fakhrul Zaman Wan Abdullah Nawawi dan Masashi Motoyama gagal mengubah nasib Kelantan United sehingga wisel tamat ditiupkan pengadil.

Tiga mata diraih memastikan Terengganu FC II naik ke kedudukan ketiga liga mengumpul 16 mata, lima mata di belakang pendahulu, Negeri Sembilan manakala Kelantan United di tangga keempat.

sumber : UM