Fokus dua perkara jika mahu benam UAE – Khalid

Kuala Lumpur: Bekas pemain negara, Khalid Ali menyifatkan skuad Harimau Malaya bimbingan Tan Cheng Hoe perlu memfokuskan kepada dua perkara jika mahu membenam Emiriah Arab Bersatu (UAE) apabila kedua-dua pasukan bertembung pada 3 Jun ini.

Menurut Khalid, dua aspek penting itu adalah tahap kecergasan dan persefahaman yang mungkin memberi masalah buat pasukan kebangsaan apabila mengharungi aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai itu nanti.

Jelasnya, berdasarkan pemerhatiannya terhadap beberapa pemain kebangsaan yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) ketika ini, terdapat pemain utama Harimau Malaya yang gagal mencapai tahap memuaskan terutama dari aspek kecergasan.

Tonggak seperti Mohamadou Sumareh yang sebelum ini adalah tonggak utama negara, nyata kelihatan masih belum mencapai tahap sebenar di mana lebih banyak memanaskan bangku simpanan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).

Selain itu, Safawi Rasid juga dilihat masih tercari-cari rentak sebenar selepas baru pulih daripada kecederaan serta Shahrel Fikri (Selangor FC), Nor Azam Azih (Sri Pahang FC) dan ramai lagi yang sekadar masuk sebagai pemain gantian.

“Pada saya sebenarnya jurang pasukan kita dengan UAE tak jauh beza jika prestasi dua tahun lalu sebelum Covid-19 diambil kira. Ketika itu pun kita kalah tipis 2-1 saja.

“Tapi apa yang saya nampak masalah sekarang adalah isu kecergasan pemain kerana banyak pemain utama bermain dalam liga tak cukup minit permainan.

“Ini perkara serius yang Cheng Hoe kena pandang dan fikirkan nanti dalam latihan pusat. Main di peringkat antarabangsa ini intensiti dan tekanan lebih tinggi berbanding liga kita.

“Kalau dalam liga kita pun jarang main, memang susah kita nak capai tahap maksimum. Saya faham Cheng Hoe sudah ada barisan pemain dalam perancangannya, tapi jika tak capai tahap terbaik untuk 90 minit, macam mana kita nak lawan UAE nanti,” katanya kepada Arena Metro.

Selain UAE, skuad kebangsaan juga dijadual menentang Vietnam pada 11 Jun dan Thailand empat hari kemudian dengan semua aksi di Dubai.

Khalid yang membantu Malaysia layak secara merit ke Sukan Olimpik Moscow 1980 sebelum pasukan menarik diri ekoran isu politik, turut melihat masalah persefahaman mungkin satu lagi ujian buat anak didik Cheng Hoe.

“Mereka dah lama tak bermain bersama, ditambah ada pula ada dua tonggak naturalisasi baharu seperti Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula yang belum pernah main bersama dengan pasukan negara.

“Pemain lain macam Luqman Hakim Shamsudin pun akan dipanggil, jadi persefahaman pasukan boleh dikatakan ‘kosong’.

“Jadi dua perkara iaitu kecergasan dan persefahaman perlu ditingkatkan oleh Cheng Hoe, dan saya harap pasukan sempat melakukannya sebelum lawan UAE nanti,” katanya.

Pasukan negara akan dikumpulkan dalam kem latihan pusat pada 16 Mei ini sebelum ke luar negara menentang Kuwait dan Bahrain pada 23 dan 28 Mei ini bagi mengharungi dua aksi persahabatan itu.

Ketika ini Malaysia berada di tangga kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan sembilan mata, manakala Vietnam di kedudukan teratas 11 mata diikuti Thailand, UAE dan Indonesia di tempat ketiga hingga lima.

sumber : Arena Metro