FAM sedia kemukakan bantahan

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata badan induk itu akan mengemukakan bantahan kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sekiranya terbukti pengadil membuat kesilapan memberi sepakan penalti kepada Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai.

Justeru, Mohd Yusoff berkata pihaknya terlebih dahulu akan membuat penilaian secara menyeluruh mengenai insiden pada minit ke-81 itu yang menjadi pencetus kepada kemenangan 2-1 Vietnam.

Beliau bagaimanapun secara peribadi menganggap reaksi Brendan Gan selepas pengadil memberi sepakan penalti kepada Vietnam menunjukkan memang ada kesilapan yang dilakukan pemain itu.

“Ada yang kata bahawa ia bukan penalti. Pada saya sendiri, kalau tengok kepada Brendan selepas pengadil memberikan penalti itu dia duduk. Maknanya pada saya memang ada sentuhan daripada Brendan.

“Sama ada sentuhan itu menjadikan satu penalti atau tidak saya tak boleh komen. Tapi dari segi reaksi Brendan yang duduk selepas pengadil memberikan penalti, ia menunjukkan dia sedar yang dia ada melakukan kesalahan.

“Tapi kita akan melihat secara keseluruhan kalau kita perlu buat bantahan. Bahagian teknikal kita akan menilai dan jika perlu bantahan kita akan buat,” katanya pada sidang media yang diadakan secara maya dari Dubai, hari ini.

Ramai peminat negara dilaporkan mempertikai penalti yang diberikan kepada Vietnam dengan ribuan komen dibuat netizen ke atas akaun Instagram yang dipercayai milik pengadil yang mengendalikan perlawanan itu, Ryuji Sato.

Selain itu, Mohd Yusoff yang juga pengurus skuad Harimau Malaya mengakui kecewa dengan kekalahan anak buah Tan Cheng Hoe itu.

“Saya fikir keputusan itu mengecewakan semua, yang mana kita sangat mengharapkan boleh mengatasi Vietnam atau sekurang-kurangnya mendapat keputusan seri. Namun akhirnya kita ditumpaskan dengan jaringan penalti pada penghujung perlawanan,” katanya.

sumber : BH