De Paula, Liridon digugurkan?

KUALA LUMPUR: Adakah dua pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula hanya sekadar memanaskan bangku simpanan ketika aksi bertemu Vietnam, tengah malam Sabtu ini?

Persoalan itu timbul selepas jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe memberi bayangan akan melakukan sedikit rombakan bagi memastikan skuad Harimau Malaya dapat kembali ‘mengaum’ selepas dibelasah Emiriah Arab Bersatu (UAE) 4-0, Jumaat lalu.

Malah, Cheng Hoe juga mendedahkan tidak ada jaminan untuk dua ‘harimau import’ terbabit membarisi kesebelasan utama, namun menegaskan mereka tidak seharusnya terus dipersalahkan susulan keputusan negatif menentang UAE itu.

“Selepas kekalahan itu, memang ramai berpendapat kita perlukan rombakan besar-besaran tetapi kita masih ada beberapa hari untuk persiapan. Kita kaji beberapa faktor menyebabkan kekalahan itu dan kita masih mencari ramuan terbaik.

“Apapun, bukan satu jaminan untuk De Paula dan Liridon dalam kesebelasan utama tetapi bukan dua pemain itu sahaja yang dipersalahkan. Setiap pemain pasti kecewa tetapi dalam bola sepak, kita bermain sebagai satu pasukan dan tidak boleh salahkan satu dua pemain.

“Tetapi sebagai jurulatih, saya sentiasa menaruh harapan tinggi dan percaya pemain dapat bangkit memperagakan persembahan terbaik untuk berdepan Vietnam nanti,” katanya.

Pada masa sama, Cheng Hoe menegaskan ia bukanlah satu kelebihan buat pasukan negara sekalipun Vietnam tidak dapat menggunakan khidmat penjaga gol utama mereka dan bergantung harap pada penjaga gol muda serta penjaga gol senior, Bui Tan Truong.

Tan Truong kembali daripada persaraan dan dia bukanlah penjaga gol terbaik Vietnam memandangkan dia sering melakukan kesilapan yang memberikan kerugian kepada pasukan mereka.

“Pada saya, pemain itu pasti belajar daripada kesilapan dan mungkin mereka akan jadi lebih baik sekarang. Apa yang penting kita fokus pada pasukan kita sahaja,” kata Cheng Hoe.

Dalam perkembangan lain, skuad kebangsaan menerima satu lagi berita buruk selepas tewas tempoh hari apabila pemain berdarah kacukan, Junior Eldstal kemungkinan tidak dapat diturunkan pada aksi bertemu Vietnam.

“Suasana latihan kini sudah kembali ceria tetapi kita masih lagi bimbang mengenai prestasi pasukan. Tetapi Junior tidak dapat bersama kita kerana dia mendapat kecederaan serius sehingga tidak dapat berjalan seperti biasa.

“Mentalnya memang kuat kerana dia hanya merasai kesakitan selepas tamat aksi tempoh hari,” katanya.

SUMBER : BH