Bergson ‘hak milik’ JDT

 

JOHOR BAHRU: Prestasi memberangsangkan serta berada di laluan tepat bagi merangkul kasut emas menarik minat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menandatangani pemain penyerang Bergson Da Silva secara tetap.

Pengarah Sukan Kelab Bola Sepak JDT, Martin Prest berkata, penyerang kelahiran Brazil itu sudah meledak 11 gol dalam 11 penampilan sejak mula membuat penampilan pertama ketika menentang UiTM FC pada 13 Mac lalu.

“JDT dengan sukacita mengumumkan telah menandatangani pemain penyerang Bergson Da Silva secara tetap.

“Bergson menyertai JDT secara pinjaman dari kelab Brazil Fortaleza musim ini dan telah menjaringkan 11 gol setakat ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers hari ini.

Pada 3 Mac lalu, Harimau Selatan membawa masuk Bergson secara pinjaman dan memberikan jersi nombor 9 buat penggempur kelahiran Brazil itu.

Penyerang import itu tidak menunggu lama untuk memikat peminat setia JDT terutamanya dalam perlawanan penting ketika menentang Pulau Pinang FA, Kedah Darul Aman FC, Sri Pahang dan PJ City.

Bergson, 30, memulakan karier profesional pada 2009 mencetak 167 gol dan 37 bantuan gol sepanjang kariernya.

Bergson dilihat sebagai watak yang sesuai buat skuad Harimau Selatan bagi kancah Liga Juara-juara Asia (ACL) memandangkan dia pernah dipinjamkan ke kelab Korea Selatan pada 2011 bersama Suwon Bluewings dan Busan IPark (2015).

Harimau Selatan akan memulakan saingan ACL musim 2021 pada bulan hadapan bagi perlawanan peringkat kumpulan apabila diundi bersama kelab Jepun, Nagoya Grampus Eight, Pohang Steelers (Korea Selatan) dan Ratchaburi FC (Thailand).

sumber : UM