Wajar kekal harga tiket Liga M

GEORGETOWN: Harga tiket bagi menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium wajar dikekalkan seperti sedia ada melihat kepada situasi semasa negara ketika ini.

Bagaimanapun Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau menyerahkan perbincangan mengenai perkara itu kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Jelasnya, beliau yakin MFL akan meneliti berhubung perkara itu termasuk kesesuaian serta justifikasi kepada perubahan harga tiket tersebut.

Tambah beliau, keutamaannya ketika ini adalah bagi menyakinkan dan menarik semula penyokong ke stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak pasukan masing-masing.

“Soal kenaikan harga tidak menjadi perbincangan sekarang ini dan kalau ada perubahan pada tiket perlawanan, pada saya dalam keadaan sekarang ini biarlah harga tiket itu kekal seperti sedia ada.

“Tetapi perbincangan (harga tiket) itu saya serahkan kepada MFL kerana mereka adalah penyelia kepada Liga Malaysia (Liga M) dan Liga Super,”katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini berkenaan kemungkinan penyokong terpaksa menanggung kenaikan tiket perlawanan pada kadar sekitar RM5 hingga RM10 selepas dibenarkan untuk kembali menyaksikan perlawanan di stadium bermula bulan depan.

Ini selepas beberapa pasukan Liga M memberi bayangan untuk menaikkan sedikit harga tiket perlawanan daripada kebiasaan untuk menampung kos tambahan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

sumber : utusan malaysia