UNITED MILIK JDT

KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui berminat memiliki sebahagian pegangan dalam kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United.

Perkara itu dimaklumkan TMJ yang juga pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pada sesi soal jawab bersama peminat di laman Instagram miliknya, hari ini.

“Saya baru ada perbincangan minggu lalu mengenai perkara itu. Hanya pegangan kecil. Walaupun kelab besar. Seperti saya katakan, saya terbuka untuk apa saja peluang,” kata TMJ menjawab soalan adakah beliau berminat membeli saham dalam Manchester United.

Ketika diminta komen mengenai persembahan Manchester United musim ini, TMJ menjawab: “Tidak cukup bagus. Ed Woodward (naib pengerusi eksekutif kelab) harus digantikan dengan saya.”

Dalam perkembangan lain, TMJ mendedahkan terdapat perbincangan untuk beliau memiliki pegangan dalam kelab Sepanyol, Valencia.

“Selamat ulang tahun Valencia. Ya, ada perbincangan dengan pemilik (Valencia) untuk saya memiliki pegangan dalam kelab itu.

“Tapi ia tertangguh kerana kerumitan dan beberapa isu yang perlu diselesaikan,” kata TMJ menjawab soalan adakah beliau akan membeli Valencia.

Pada sesi itu, TMJ juga menegaskan tidak menyalahkan Gonzalo Cabrera dan Bergson Da Silva yang gagal menyudahkan sepakan penalti ketika terikat 1-1 dengan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.

“Tak ada tuah dan boleh berlaku dalam bola sepak. Tetapi dua-dua pemain terbaik dan banyak memberi sumbangan yang positif kepada kelab.

“Saya tak nilai pemain dari penalti. Selepas perlawanan semalam saya pesan kepada pemain ‘permainan yang bagus, tidak bernasib baik, pandang ke depan dan perlawanan itu sudah di belakang kita,” jelas TMJ.

Selain itu, TMJ turut menjawab persoalan mengenai ketiadaan bintang baharu JDT, Mohamadou Sumareh dalam senarai bagi aksi menentang Selangor.

“(Sumareh) cedera. Tapi sekarang kembali berlatih dan akan mendapat kecergasan perlawanan tidak lama lagi,” katanya.

SUMBER : BERITA HARIAN