UBI MUDA JDT MASA DEPAN HARIMAU MALAYA

KUALA LUMPUR: Tiga pemain muda – Luqman Hakim Shamsudin, Arif Aiman Hanapi dan Rahadiazli Rahalim – dicanang akan menjadi bintang masa depan buat Harimau Malaya.

Bekas pengurus skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar menjelaskan kesungguhan pemain muda seperti Luqman yang berusaha gigih bagi memburu kejayaan dalam kariernya boleh memberi masa depan cerah buat skuad kebangsaan.

Malah, beliau berkata, bukan menjadi satu kejutan sekiranya tiga pemain itu berada dalam senarai Harimau Malaya yang akan mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jun depan.

“Bukan sahaja dari bentuk fizikal, kelakuan dia (Luqman), bahasa badan dia, sangat profesional. Dia adalah bintang harapan Malaysia pada masa akan datang.

“Selain Luqman, Rahadiazli akan menyinar dan saya juga mengharapkan Arif Aiman diberi tempat yang sewajarnya dalam skuad kebangsaan.

“Dalam era bola sepak moden ini, bukan halangan untuk dia ke skuad senior. Jadi, ketiga-tiga pemain ini harapan besar saya untuk melihat mereka menyertai skuad kebangsaan.

“Ia bukan satu kejutan (jika tiga pemain ada dalam skuad itu Harimau Malaya ke kempen kelayakan), saya merasakan itu adalah sudah dijangka,” katanya.

Rahadiazli adalah penjaga gol bagi pasukan Terengganu FC (TFC) dan aksi cemerlang bersama skuad Penyu menyaksikan dia mendapat kepercayaan pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untik menyertai kem latihan Harimau Malaya bermula Isnin lalu hingga 30 Mac ini.

Walaupun tidak berpeluang menyertai kem latihan bersama Harimau Malaya, namun kebolehan dan kematangan yang ditunjukkan Arif Aiman beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga Super meletakkan namanya antara aset masa depan negara.

Selain tiga pemain itu, beberapa pemain muda yang lain seperti Ramadhan Saifullah Usman juga antara bintang harapan yang dicanang boleh mencipta masa depan cerah buat skuad kebangsaan.

sumber : BH