TFC buntu cari gol di Kuala Terengganu

Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri selepas terikat 0-0 berdepan PJ City FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam ini.

Dengan keputusan itu skuad Penyu kini jatuh satu anak tangga di kedudukan ketiga di belakang Kedah dan Johor Darul Ta’zim di puncak liga.

Sepanjang babak pertama perlawanan, aksi kedua-dua pasukan agak hambar dan dilihat tiada idea untuk merencana gerakan menarik.

Hanya dua percubaan tepat dimiliki skuad Penyu kendalian Nafuzi Zain menerusi penyerang kelahiran Ghana, Jordan Mintah pada minit ketiga yang berjaya ditangkap kemas penjaga gol, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi.

Satu lagi percubaan menerusi sepakan percuma pemain tengah, Makan Konate pada minit ke-35 yang sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol pelawat.

Skuad Penyu yang menurunkan penjaga gol utama skuad ‘adik’ Terengganu FC II (TFC II), Mohd Suhaimi Husin selepas penjaga gol utamanya, Rahadiazli Rahalim tidak disenaraikan selepas mengalami kecederaan serius di bahagian lutut ketika sesi latihan pasukan Rabu lalu tidak banyak memegang bola.

Skuad The Phoenix kendalian P Maniam hanya memperoleh satu peluang pada minit ke-9 menerusi K Gurusamy yang melakukan hantaran kepada D Kugan, namun gerakan itu tidak mencemaskan benteng tuan rumah.

Bersambung babak kedua, Nafuzi memasukkan tiga tenaga baharu, Faiz Nasir, Nasir Basharudin dan Shahrul Nizam Ros Hasni manakala P Maniam memasukkan tiga pemain gantian, Mohd Khyril Muhymeen Zambri, Salamon Raj dan R Kogileswaran, namun masih buntu memburu jaringan.

Pada minit ke-77 dan 89, TFC mempunyai peluang terbaik untuk mendapatkan gol sulung menerusi rembatan kencang Konate, namun penjaga gol bertindak cemerlang menafikan percubaan itu.

Begitu juga tandukan Mintah selepas itu juga gagal menembusi gawang selepas terkena tiang sekali gus kedudukan kekal 0-0 hingga tamat perlawanan.

sumber : Metro arena