Stadium Mini Kertih dinaik taraf

KEMAMAN: Kertih bakal menjadi bandar sukan serba lengkap menjelang 2027 menerusi projek menaik taraf Stadium Mini Kertih di sini, membabitkan kos RM7 juta.

Pengarah Kertih Sports City Sdn. Bhd. (KSC), Razeman Mat Nashim berkata, projek pembangunan di kawasan seluas 8.49 hektar itu dilaksanakan dalam lima fasa dengan kerja-kerja awal membabitkan baik pulih padang sintetik, lampu limpah, pembinaan gelanggang futsal, gimnasium dan pusat komersial.

Katanya, pelaksanaan fasa pertama itu akan bermula dalam masa terdekat selepas mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).

“Pelan pembangunan fasa pertama ini dijangka memakan masa empat hingga enam bulan dan boleh digunakan sebelum hujung tahun.

“Kemudian kita teruskan ke fasa berikutnya yang meliputi dewan badminton, bangunan residensi, padang latihan di samping tempat duduk penonton,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas memeterai perjanjian menaik taraf dan menguruskan Stadium Mini Kertih dengan MPK yang diwakili, Yang Dipertuanya, Jusman Ibrahim di Kelab Golf Rantau Petronas hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili.

Menurut Razeman, pembangunan pusat komersial di bandar sukan itu bakal meningkatkan lagi ekonomi penduduk setempat sekali gus membolehkannya muncul destinasi pelancongan sukan di negara ini.

Dalam perkembangan sama, katanya, KSC turut merancang bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan di samping Rakan Muda dan Fit Malaysia sebagai nilai tambah kepada komuniti Kertih.

sumber : UM