‘Setuju potongan, saya bayar langsai’

KOTA BHARU: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman sedia me­langsaikan semua tunggakan gaji bulan November membabitkan lima bekas tonggak The Red Warriors (TRW) musim 2020 sekiranya mereka bersetuju dengan syarat pemotongan sebagaimana telah diterima oleh rakan sepasukan yang lain sebelum ini.

Lima pemain yang membuat tuntutan menerusi Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) ialah Nazrin Nawi, Farisham Ismail, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Shahrul Nizam Ros Hasni dan Masaki Watanabe.

Norizam atau Zamsaham berkata, jika lima pemain itu te­rus ‘berkeras’ dengan keputusan untuk membuat tuntutan penuh, mereka perlu menunggu sehingga beliau mendapat keuntungan hasil perniagaan diusahakannya.

“Saya memang nak bayar…cuma kalau nak penuh (bayaran) kena tunggu.

“Sebab saya kena berniaga, jual burger atau ‘trade’ saham. Bila dah ada untung, baru ada pitih (duit) nak bayar (mereka yang mahu penuh),” katanya menerusi Facebook miliknya, semalam.

Tunggakan gaji lima pemain itu membabitkan bayaran bagi November tahun lalu yang berjumlah RM158,857.

Zamsaham memberitahu, beliau terpaksa berbuat demikian kerana tidak mendapat sebarang tajaan atau geran daripada mana-mana pihak.

Katanya, beliau juga sentiasa terbuka untuk melakukan rundi­ngan berhubung perkara itu.

“Saya cuma berharap pemain terlibat memahami situasi di mana kita semua sedang berdepan dengan pandemik Covid-19 yang memberikan kesan tidak baik pada ekonomi ketika ini,”

“Lagipun 90 peratus pemain Kelantan FC sudah bersetuju dengan pemotongan itu, namun masih ada yang menolak tawaran tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Kelantan FC mungkin menjadi kelab bola sepak pertama yang mempunyai sistem pembayaran atas talian sendiri.

Menurut Zamsaham, sistem pembayaran atas talian TRWpay merupakan satu anjakan paradigma bagi kelab tersebut.

Katanya, TRWpay dibangunkan oleh TRW Kelantan FC sendiri dengan disokong oleh SecurePay dan Cool Code.

“Selepas ini semua penyokong TRW Kelantan FC yang ingin menyaksikan perlawanan secara atas talian tidak lagi berdepan masalah berkenaan pembayaran kerana ia boleh dilakukan secara atas talian.

“Peniaga-peniaga kecil dan penjaja di tepi jalan juga boleh menggunakan TRWpay kerana sistem ini dibangunkan untuk kegunaan peniaga kecil sehinggalah kepada syarikat-syarikat besar,” katanya.

sumber : UM