Selangor II benam Kelantan United

KUALA LUMPUR: Selangor FC II mengekalkan rentak kemenangan selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kelantan United FC pada aksi tunggal saingan Liga Perdana hari ini.

Pemain sayap import dari Myanmar Hein Htet Aung muncul wira Selangor FC II apabila meledak jaringan pada minit ke-38 perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Jaringan tersebut meletakkan pemain berusia 19 tahun itu kini mengumpul dua gol selepas menjaringkan gol pertamanya pada aksi pembukaan menentang PDRM FC, awal bulan ini.

Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Michael Feichtenbeiner melonjak ke tangga ketiga liga selepas empat perlawanan dengan sembilan mata manakala Kelantan United FC kekal di tangga kelima dengan tujuh mata selepas mengharungi lima perlawanan.

Selangor FC II akan berkunjung ke Stadium Perak di Ipoh untuk perlawanan berikutnya menentang Perak FC II pada 2 April depan, manakala Kelantan United FC akan bertemu Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu pada 3 April. – BERNAMA

sumber : berita harian