SANG KENARI TERBANG TINGGI

ALOR SETAR: Hajat Kedah meraih tiga mata di laman sendiri tercapai apabila bangkit menewaskan PJ City 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Anak buah Aidil Sharin Sahak sepatutnya sudah mendahului seawal minit kedua tetapi Baddrol Bakhtiar yang dikritik peminat susulan prestasi hambar, gagal menyambut hantaran silang Kipre Tchetche.

Kedah terus berusaha memburu gol dengan percubaan voli oleh Kipre Tchetche pada minit ke-26 dan Rabih Ataya selang dua minit kemudian, namun kedua-dua percubaan itu gagal menepati sasaran.

PJ City yang membuat serangan balas mendapat peluang terbaik apabila pemainnya, Sunil Caven dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Fandi Othman yang mendorong pengadil memberi sepakan penalti pada minit ke-39 dan peluang ini tidak disia-siakan oleh R Kogileswaran untuk PJ City mendahului.

Dua minit bersambung babak kedua, Baddrol berjaya menyamakan kedudukan berpunca dari sepakan sudut Ataya.

Gol itu nyata menyemarakkan semangat Kedah apabila penyerang utama, Kpah Sherman kemudian berjaya meledak gol kedua melalui hantaran Baddrol.

Pemain muda gantian, Fayadh Zulkifli terus menambah duka buat skuad kendalian P Maniam apabila meledak gol ketiga Kedah selepas mendapat hantaran cantik Azamuddin Akil.

SUMBER : BERITA HARIAN