SABAH TEKAD LEBURKAN REKOD JDT

Kota Kinabalu: Sabah Football Club (FC) bertekad untuk menghadiahkan penyokong mereka dengan meleburkan rekod tanpa kalah pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Likas, malam esok.

Aksi esok menyaksikan sejumlah penyokong skuad Badak kembali dibenarkan memasuki stadium selepas kira-kira setahun venue berkenaan tidak menerima kehadiran penonton berikutan penularan wabak Covid-19.

“Sabah FC bersedia meleburkan rekod baik JDT dan ia tidak mustahil kerana kita juga pernah menamatkan rekod tanpa kalah Terengganu FC (TFC) di sini (Stadium Likas) sebelum ini.

“Tambahan pula, kita bakal mendapat bantuan pemain ke-12 iaitu penyokong yang dibenarkan menyaksikan perlawanan di stadium… sudah pasti kita mahu menghadiahkan mereka dengan keputusan baik,” kata pengendali Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto.

Kurniawan berkata, pasukannya sudah melakukan persiapan rapi bagi menghadapi perlawanan itu termasuk membuat analisis video perlawanan membabitkan JDT.

Katanya, analisis yang dibuat itu adalah bagi melihat ruang yang boleh digunakan Sabah FC untuk mengekang kemaraan seterusnya menundukkan skuad Harimau Selatan itu.

“Sudah pasti semua pihak termasuk peminat setia ‘Rhinos’ mengharapkan kemenangan berpihak kepada Sabah yang bermain di Stadium Likas sambil disaksikan sendiri oleh kehadiran pertama penonton.

“Kita memberi jaminan untuk melakukan persembahan terbaik sebagai hadiah kepada mereka yang hadir ke stadium malam esok,” katanya.

Beliau berkata, Sabah kini juga sedang berada di ‘mood’ yang baik untuk menghadapi perlawanan bertemu JDT dan berharap ianya akan diterjemahkan di atas padang.

“Kita juga harap rentak permainan baik yang ditunjukkan pada dua aksi lalu dapat diteruskan.

“Apa yang pasti Sabah akan melakar sejarah sebagai kelab pertama dapat menewaskan JDT di Stadium Likas. Kita yakin jika semua pemain menunjukkan komitmen 100 peratus, tidak mustahil perkara ini akan dapat dicapai,” katanya.

sumber : arena metro