RED GIANTS TEWAS DILAMAN SENDIRI

PETALING JAYA: Selangor yang menunjukkan persembahan luar biasa ketika mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-1, Rabu lalu gagal meneruskan rentak tersebut apabila terpaksa akur kepada kehebatan Pulau Pinang selepas tewas 2-0, sebentar tadi.

Dalam aksi di Stadium Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Red Giants menurunkan barisan terkuat termasuk gandingan dua pemenang kasut emas musim lalu, Ifedayo Olusegun dan Shahrel Fikri Fauzi namun masih gagal menembusi gawang pasukan pelawat.

Sebaliknya, pengendali P. Pinang, Tomas Trucha yang menerapkan taktikal bertahan dalam perlawanan itu berjaya membuka jaringan menerusi rembatan kencang Mohamad Al Hafiz Harun pada minit ke-38 untuk meletakkan pasukan pelawat mendahului 1-0 selepas menerima lorongan cantik penyerang dari Tajikistan, Sheriddin Boboev

Tersentak dengan jaringan itu, Selangor kembali mengatur gerakan serangan namun terus buntu untuk menembusi gawang yang dikawal oleh penjaga gol pelawat, Samuel Jacob untuk mengekalkan kedudukan 1-0 sehingga berakhir babak pertama.

Bersambung babak kedua, tuan rumah terus melakukan tekanan terhadap pertahanan P.Pinang menerusi serangan bertali arus namun gagal menghasilkan jaringan.

Usaha skuad kendalian Karsten Neitzel mencari gol penyamaan hampir berjaya pada minit ke-57 namun rembatan pertahanan dari Singapura, Safuwan Baharudin sekadar melewati tiang gol.

Namun, hanya menerusi satu serangan balas pantas, lorongan cantik Khairu Azrin Khazali mengatasi dua pertahanan Selangor dimanfaat sebaik mungkin Danial Ashraf Abdullah yang melakukan larian deras, disusuli rembatan kencang untuk gol kedua pasukan pelawat pada minit ke-72.

P. Pinang hampir menambah gol ketiga namun percubaan David Rowley dalam kotak penalti berjaya ditepis keluar Khairulazhan Khalid pada minit ke-83.

Red Giants terus mati akal untuk menembusi gawang P.Pinang meskipun menguasai keseluruhan permainan babak kedua sehingga memaksa pasukan pelawat ‘parking bas’.

sumber : utusan malaysia