RED GAINT TUMBANG DI LAMAN PERAK

IPOH: Pengendali Selangor II, Michael Feichtenbeiner kecewa tengah pertahanan rapuh pasukannya yang membawa kepada kekalahan 3-4 kepada Perak II dalam aksi Liga Perdana di Stadium Perak semalam.

Katanya, aksi goyah juga membuatkan Selangor II ketinggalan 0-2 sebelum meninggalkan lawan 3-2, namun akhirnya tumpas kepada pasukan yang sebelum ini tewas empat perlawanan berturut-turut sebelum turun beraksi.

“Saya kecewa dengan keputusan perlawanan ini. Kami bermula dengan goyah hingga menyebabkan ketinggalan dua gol, namun anak-anak buah saya bangkit menyamakan kedudukan dan mendahului di separuh kedua.

“Tetapi malangnya kami gagal bertahan kelebihan itu dan lawan memanfaatkan keadaan untuk membenam kami, saya kecewa kerana kami sepatutnya mampu mengutip sekurang-kurangnya satu mata,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan semalam.

Sementara itu, pengurus Perak II, Syamsul Mohd. Saad lega dan menyifatkan kemenangan itu sebagai ‘pucuk dicita ulam mendatang.’

Katanya, sasaran awal hanya cuba mengutip satu mata dariperlawanan itu selepas pasukannya gagal meraih mata dalam empat aksi terakhir.

” Tidak sangka pula kami berjaya mengutip mata penuh kerana tidak bermain dengan cemerlang.

“Inilah bola sepak. Adakala kita bermain baik tetapi tidak menang dan ada kalanya sebaliknya yang berlaku seperti dalam perlawanan ini,” kata Syamsul. – UTUSAN