PUSAT LATIHAN BERTARAF DUNIA – CONTOHI JDT

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berharap pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang lain dapat mencontohi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam membangunkan pusat latihan terbaik pada masa akan datang.

Katanya, pusat latihan yang baik menjadi antara faktor penting menyumbang kepada peningkatan prestasi pemain ke tahap lebih tinggi.

“Bagi pihak FAM, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) atas kesudian berkongsi kemudahan pusat latihan mereka dengan skuad Harimau Malaya bagi kem latihan pusat di Johor Bahru kali ini.

“Saya secara peribadi melihat ini sebagai satu lagi sumbangan JDT terhadap bola sepak Malaysia. Setelah membantu meningkatkan profil bola sepak Malaysia melalui pembangunan dan penjenamaan bola sepaknya, kesudian pihak JDT ini akan membolehkan skuad Harimau Malaya memanfaatkan kemudahan bertaraf dunia.

“Diharap juga ia menjadi contoh kepada kelab bola sepak tempatan yang lain untuk sama-sama membangunkan pusat latihan mereka dengan kemudahan yang lengkap seperti ini kerana pada akhirnya nanti, sudah pasti ia akan membantu dalam meningkatkan prestasi pemain, sekali gus dapat memajukan lagi tahap bola sepak negara secara keseluruhan,” kata Hamidin.

Skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe memulakan kem latihan pusat bermula hari ini hingga 30 Mac ini sebagai persiapan awal mengharungi baki tiga aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jun ini

Selain itu, Hamidin mengakui gembira dan lega apabila skuad Harimau Malaya dapat berkumpul kembali selepas 16 bulan tidak bersama.

“Sudah tentu saya berasa cukup lega dan gembira kerana kita akhirnya dapat berkumpul untuk kem latihan pusat ini sebagai persiapan penting dalam menghadapi baki tiga perlawanan terakhir Kumpulan G.

“Saya berharap agar kem latihan pusat ini berjalan lancar seperti dirancang dengan ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe dapat meningkatkan lagi persefahaman dan kombinasi para pemain serta meningkatkan tahap dan corak permainan pasukan untuk kita beroleh kejayaan apabila menentang UAE, Vietnam dan Thailand pada Jun nanti,” katanya.

sumber : BH