PERAK KENA LAGI

KUALA LUMPUR: Perak FC terus dihimpit masalah prestasi selepas kecundang 3-0 di tangan pendatang baharu Liga Super, Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.

Kemenangan itu turut menyaksikan skuad The City Boys menamatkan kemarau kemenangan ke atas Perak selama 11 tahun selepas kali terakhir menewaskan Bos Gaurus pada Julai 2010.

Hanya satu kemenangan, seri sekali dan tewas dua kali meletakkan Perak yang juga juara Piala Malaysia lapan kali berada di kedudukan ke-10 Liga Super selepas mengharungi empat perlawanan musim ini.

KL City pula mengumpul tujuh mata hasil daripada dua kemenangan, satu seri dan kalah sekali.

Pada aksi itu, Dominique Da Sylva mencetuskan malam gemilang KL City apabila meledak gol pembukaan pada minit ke-41 selepas berjaya melepasi dua pertahanan Perak.

Hanya dua minit selepas bersambung babak kedua, bekas pemain import Melaka United, Romel Morales mengukuhkan kedudukan buat tuan rumah apabila berjaya menyumbang gol kedua KL City.

Pemain kelahiran Colombia itu terus cemerlang apabila meledak gol ketiga KL City pada minit ke-65 selepas menyempurnakan hantaran Paulo Josue, sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya pasukannya.

SUMBER : BERITA HARIAN