Penyokong harap MKN beri pertimbangan

KUALA LUMPUR: Kelab penyokong bola sepak tanah air menyifatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) wajar meluluskan permohonan membenarkan mereka ke stadium bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Malah, jumlah 10 peratus daripada kapasiti stadium yang dicadangkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (Liga M) juga dianggap sebagai angka yang sesuai bagi peringkat awal penyokong dibenarkan ke stadium.

Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Faizal Wahid berkata kehadiran penyokong amat penting buat Liga M dan pasukan terutama dalam menarik minat penaja serta meningkatkan motivasi pemain.

“Terima kasih kepada MFL terutama presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin kerana mendengar luahan penyokong. Tidak kisah berapa peratus jumlahnya, yang penting MKN benarkan penyokong ke stadium.

“Negara lain seperti Thailand, Vietnam dan Jepun sudah benarkan penyokong ke stadium, jadi MKN juga wajib benarkan.

“Kaedah penjualan tiket bergantung kepada persatuan, tapi seeloknya lebih utamakan penyokong yang memiliki pas bermusim dan ahli kelab yang berdaftar supaya ketua kelab boleh memastikan pematuhan SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan.

“Kita risau jika penyokong yang beratur untuk membeli tiket melebihi kapasiti yang ditetapkan, nanti ada penyokong yang kecewa tak dapat tiket ,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Kelmarin, Hamidin menjelaskan pihaknya akan mengemukakan cadangan kepada MKN supaya membenarkan penyokong ke stadium musim depan dengan jumlah 10 peratus daripada kapasiti stadium.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong Jaguh Utara (JUFC), Safarizal Mohd Sobri pula berkata kebenaran penyokong ke stadium dengan skala kecil itu sekurang-kurangnya dapat menjadi pengubat rindu buat peminat bola sepak tanah air.

“Apa yang penting bagaimana MKN dan MFL sendiri nak kawal pergerakkan keluar masuk penyokong ke stadium supaya mematuhi SOP. Harapan besar kami supaya MKN dapat meluluskan permohonan daripada MFL itu.

“Kalau nak jimat masa dan mengelak pelanggaran SOP, tak perlulah kita jual tiket di kaunter, lebih baik jual secara ‘online’ sahaja. Saya rasa ia lebih telus sebab kita nak elak juga daripada tiket itu sampai kepada pihak yang tak patut dapat seperti ulat tiket dan sebagainya,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.