Penalti selamatkan juara bertahan JDT

IPOH: Sepakan penalti Leandro Velazquez pada masa kecederaan menjadi penyelamat Johor Darul Ta’zim (JDT) bangkit mengikat Perak 2-2 di Stadium Perak, Ipoh, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan JDT kekal di kedudukan teratas liga dengan 11 mata, selepas pasukan tangga kedua, Terengganu FC tewas 2-1 di tangan Sabah.

Anak buah Chong Yee Fatt yang tidak diberi harapan besar untuk mengatasi JDT susulan prestasi kurang baik dalam dua perlawanan sebelum ini berada di depan pada minit ke-33 selepas De Paula tenang menyudahkan hantaran Izzuddin Roslan.

Tindakan pengendali JDT, Benjamin Mora membawa masuk Mohamadou Sumareh pada awal babak kedua juga tampak gagal membuahkan hasil untuk Harimau Selatan mendapatkan gol penyamaan.

Walaupun melakukan asakan demi asakan ke kubu Perak, namun JDT tetap gagal menewaskan penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy yang beraksi cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan bahaya sejak awal permainan.

Ketika JDT sedang rancak mengasak, sebaliknya De Paula mengukuhkan kedudukan Perak apabila meledak gol kedua selepas menyudahkan umpanan yang dilakukan Sergio Arguero pada minit ke-58

Usaha Mora mengeluarkan Sumareh dan memasukkan Akhyar Rashid pada minit ke-69 membuahkan hasil apabila bekas pemain Kedah itu akhirnya berjaya menewaskan Hafizul Hakim, lima minit kemudian.

Ketika JDT di ambang kekalahan, Leandro Velazquez muncul penyelamat apabila meledak gol penyamaan selepas menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan.

sumber : berita harian