Nurshamil hargai peluang di Kelantan FC

Karier Nurshamil Abd Ghani ibarat mendapat nafas baru bersama Kelantan FC musim ini selepas beberapa musim sukar mendapat peluang beraksi.

Nurshamil sudah meledak dua gol bagi membantu kelab Pantai Timur itu meraih tujuh mata selepas empat perlawanan.

“Saya harap dapat naikkan balik prestasi bersama pasukan, saya juga ada sasaran ke atas diri sendiri — ada nama sebagai penjaring tempatan dan dalam masa sama berikan yang terbaik bersama Kelantan FC,” katanya yang akan bertemu Sarawak United di tempat sendiri, Sabtu ini.

Situasi ini memberi petanda positif buat bekas pemain Penang FC musim lalu itu apatah lagi dapat membuktikan bahawa penggempur tempatan juga mampu bersaing dengan tonggak import.

Namun, dia mengakui perlu tingkat usaha memandangkan menyerlah ketika lebih kerap beraksi sebagai pemain gantian.

“Jurulatih ingin menerapkan dua penyerang tetapi oleh kerana Kelantan membariskan ramai pemain muda, jadi jurulatih main seorang penyerang,” katanya.

sumber : SA