Mora gilirkan pemain berdepan Perak FC

JOHOR BAHRU: Penggiliran pemain bakal dilakukan pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora apabila bertandang ke Stadium Perak untuk berdepan Perak FC pada aksi Liga Super, Ahad ini.

Ketika ditanya sama ada penggiliran pemain skuad Harimau Selatan itu bakal menampilkan Mohamadou Sumareh untuk menentang skuad kendalian Chong Yee Fatt, Mora tidak menolak kemungkinan pemain naturalisasi itu mungkin berada dalam kesebelasan utama.

“Mungkin… semuanya bergantung kepada perancangan taktikal yang akan ditampilkan pada perlawanan itu. Apapun saya juga perlu lihat tahap kecergasan pemain lain selepas mengharungi jadual perlawanan yang padat.

“Saya juga akan melakukan penggiliran pemain dan tidak berdepan masalah untuk memilih barisan pemain utama bagi mengharungi perlawanan kelima liga, Malah kita tahu bermain di Ipoh selalunya akan berdepan kesukaran.

“Untuk aksi menentang Perak, saya tahu pasukan itu tewas 0-3 kepada Kuala Lumpur City FC dan kita tidak mahu memikirkan mereka akan bangkit apabila berdepan JDT sebaliknya tumpuan saya lebih terarah untuk memperkemaskan setiap posisi apabila berdepan pasukan itu,” katanya.

Mora menegaskan matlamat utama berdepan Perak FC pastinya mempamerkan aksi konsisten bagi memburu kemenangan dengan semangat juang yang tinggi malah cuba sedaya upaya mencari gol awal dalam perlawanan itu.

Apapun beliau menyatakan skuad Seladang tetap berbahaya tatkala mereka mahu bangkit daripada kekalahan kepada Kuala Lumpur Ciity FC dan sudah tentunya pasukan itu akan tampil lebih agresif dengan corak permainan pantas.

“Ia mungkin perlawanan sukar buat kami apabila beraksi di sana. Malah kami menghormati mereka sebagai salah satu pasukan yang baik dalam saingan liga dan saya jangkakan ia aksi menarik tatkala kami ingin bangkit selepas seri pada aksi lalu,” kata Mora

sumber : berita harian