Messi potong 70%, Barca pun tak pro?- Norizam

Kuala Lumpur: “Saya dah selamatkan Kelantan FC dan keluarkan sampai RM6.8 juta untuk selesaikan semua hutang pemain, patutkah Kelantan FC dikatakan tak profesional?.

“Bekas Pemain yang keluarkan ‘statement’ terlebih dahulu di media sosial berkenaan isu ini, bukan Kelantan FC”.

Demikian maklum balas pemilik pasukan Kelantan FC, Norizam Tukiman yang mengakui terkilan apabila Kelantan FC didakwa tidak profesional oleh Persatuan Bolasepak Pemain Profesional Malaysia (PFAM) berhubung notis tuntutan gaji lima bekas pemain The Red Warriors (TRW).

Jelas Norizam, Kelantan FC di bawah pengurusan baru tidak mempunyai masalah untuk menjelaskan kesemua tunggakan gaji lima pemain yang berjumlah RM158,857.00 kepada Nazrin Nawi, Mohd Farisham Ismail, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Shahrul Nizam Ros Hasni dan Masaki Watanabe.

Namun permintaan beliau supaya lima tonggak terbabit menerima pemotongan sebanyak 50 peratus adalah bagi menghormati majoriti pemain lain yang sebelum itu bersetuju dengan pemotongan berkenaan.

“Saya bukan jenis suka mengungkit-ungkit dan jauh sekali untuk tidak bersikap profesional. Kalau saya ini tak profesional, saya takkan menghabiskan duit untuk bayar semua tunggakan gaji pemain. Hanya 5 pemain ini sahaja kerana mereka pentingkan diri sendiri.

“Kalau kata Kelab Kelantan FC tak profesional, adakah kelab Barcelona juga tak profesional apabila Messi dipotong gaji sehingga 70 peratus bagi membantu kelab yang tersepit ekoran pandemik Covid-19 ini.

“Apalah sangat nak bandingkan Barcelona dengan Kelantan tetapi sekurang-kurangnya fahamlah mengapa pemotongan itu perlu di kala kita semua berdepan masalah Covid-19.

“Macam saya katakan, saya tak ada masalah langsung nak bayar gaji pun kerana kami cukup profesional bila membabitkan hal perundangan tapi akhirnya pemain itu yang tak profesional dan mementingkan diri sendiri. Mereka tak faham, sepatutnya apabila 90 peratus setuju pemotongan yang 10 peratus patut setuju,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Semalam, PFAM menyelar tindakan TRW mendedahkan notis tuntutan gaji lima bekas pemainnya kepada umum sebagai tidak profesional dan menuntut agar pengurusan pasukan terbabit menghormati kontrak pemain.

Jelas Norizam atau lebih dikenali dengan Zamburger lagi, kontrak yang ditandatangani oleh pemain itu bukanlah bersamanya sebaliknya ketika di bawah pengurusan lama.

“Kalau ikutkan kontrak itu bukan di bawah era saya, tetapi era lama. Namun begitu, saya tetap bayar hutang yang ditinggalkan pengurusan terdahulu kerana apa, kerana saya cukup profesional nak bantu Kelantan FC,” katanya.

Pada penghujung musim lalu, Usahawan Zamburger ini tampil menyelamatkan skuad TRW daripada bebanan hutang serta hampir digantung oleh FIFA apabila membeli kelab itu dan turut bersetuju menjelaskan segala tunggakan pasukan itu.

sumber :metro arena