MEREKA DATANG KE JDT UNTUK BERMAIN FINAL PIALA DUNIA

“Mereka datang ke sini untuk bermain final Piala Dunia”.

Demikian ulas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora, yang mengakui sudah menjangkakan kebangkitan Selangor FC dalam menjelmakan persembahan terbaik ketika berdepan pasukannya berbanding tiga aksi yang diperagakan sebelum ini.

JDT berkongsi satu mata dengan Selangor biarpun beroleh dua sepakan penalti apabila terikat 1-1 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

“Mereka ke mari macam bermain untuk perlawanan akhir Piala Dunia. Kalau mereka seri dengan JDT, ia dianggap satu kejayaan musim ini.

“Tidak mengapa, kami sedia berdepan cabaran dan mereka berikan saingan.

“Mereka kerap terjatuh, banyak kali membuang masa. Saya tidak fikir mereka beraksi dengan baik cuma mereka melakukan apa yang perlu untuk memenangi perlawanan ini.

“Ini adalah normal, mereka menggunakan sumber yang ada tetapi kami akan bertembung lagi tahun ini.

“Kami sudah menjangkakan mereka hadir ke sini dengan beri tekanan, agresif dan melakukan apa yang telah melakukan.

“Inilah bola sepak, bila-bila pun ia boleh terjadi,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Tanggapan itu bagaimanapun pantas disangkal pengendali Gergasi Merah, Karsten Neitzel, sambil menegaskan keputusan itu bukanlah satu kemenangan buat mereka.

“Kami beraksi baik ketika bertemu Sri Pahang.

“Saya tidak mahu katakan ia satu persembahan yang terbaik (malam ini) tetapi ia satu mentaliti yang sangat bagus.

“Pemain mempamerkan keyakinan terhadap tindakan mereka.

“Selangor ada memiliki tuah, begitu juga JDT jadi keputusan 1-1 ini tidak dianggap sebagai satu kemenangan buat kami,” kata jurulatih kelahiran Jerman itu.

sumber :SA