Melaka mangsa Harimau Kumbang

MELAKA: Kehadiran penonton buat pertama kali tidak menghadirkan khabar gembira buat Melaka United (MU) apabila tewas 1-2 kepada Pulau Pinang dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi.

Ini kekalahan kedua skuad MU selepas rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan dicalarkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) 3-0 dalam perlawanan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Penjaring terbanyak Pulau Pinang dengan sembilan gol musim lalu, Casagrande muncul hero apabila meledakkan dua jaringan pada minit ke-39 dan minit 48 sudah cukup memastikan mereka pulang dengan tiga mata.

Gol saguhati MU dijaringkan pemain import dari Montenegro, Stefan Nikokic yang masuk beraksi pada babak kedua menggantikan pemain dari Brazil, Alex Gocalves.

Permainan berhati-hati oleh kedua-dua pasukan cukup membosankan sepanjang tempoh 20 minit perlawanan berlangsung.

Peluang terbaik hadir buat pasukan tuan rumah pada minit ke-36, namun tandukan liar Alex Gocalves selepas menerima bola hasil sepakan percuma Sony Norde.

Bagaimanapun seminit selepas itu giliran Pulau Pinang pula nyaris memecah kebuntuan jaringan gol apabila pertahanan MU sempat menolak bola keluar sebelum sempat disepak pemain tengah Mohamad Al Hafiz Harun.

Gol yang dicari memihak kepada pelawat apabila bekas pemain MU, Casagrande menolak mudah menewaskan penjaga gol tuan rumah, Khairul Fahmi Che Mat.

Gol berpunca daripada hantaran sebelah kanan tepat kepada Casagrande yang mendada dahulu bola tersebut sebelum memusingkan badan lalu menolak mudah menggegar jaring tuan rumah.

Tiga minit babak kedua bermula Casagrande sekali lagi mengamatkan Stadiun Hang Jebat apabila dia mudah menolak masuk hantaran cantik Mohamad Al Hafiz.

MU yang ketinggalan cuba mencari gol buat merapatkan jurang namun ketumpulan jentera serangan melalui gandingan Gocalves dan Sony Norde jelas menghampakan.

Begitupun kemasukan pemain Stefan Nikolic menggantikan Gocalves membawa rahmat apabila pemain berasal dari Montenegro menanduk masuk gol pertama tuan rumah pada minit ke-62.

sumber : UM