Masa untuk guna VAR dalam saingan Liga M

KUALA LUMPUR: Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi individu terbaharu yang menyuarakan pandangan bahawa sudah tiba masanya Liga Malaysia (Liga M) menggunakan sistem video bantuan pengadil (VAR).

Perkara itu disuarakan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) di pada akaun Instagram Story miliknya dengan menulis “masa untuk VAR” selepas perlawanan antara Perak FC dan JDT, kelmarin.

Sebelum ini BH Sukan melaporkan bahawa pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa menyifatkan sudah tiba masanya Liga M menggunakan VAR susulan beberapa kontroversi membabitkan keputusan pengadil dalam perlawanan awal musim ini.

Malah, menerusi satu komen yang dibuat TMJ pada laman Instagram, malaysiafootballleague, beliau berpendapat pengadil sepatutnya tidak memberikan sepakan penalti kepada JDT pada masa kecederaan.

“Saya rasa penalti minit akhir itu bukan penalti. Tapi pada babak pertama (kekasaran ke atas) Bergson (Da Silva) dan Arif Aiman (Hanapi), ya. Apa pun terbaik Perak, selamat berjaya perlawanan akan datang,” katanya.

JDT mendapat sepakan penalti pada masa kecederaan dan peluang itu digunakan sepenuhnya pemain import skuad Harimau Selatan, Leandro Velazquez untuk meledak gol penyamaan yang menyaksikan perlawanan berkesudahan 2-2

Selain itu, TMJ menerusi komennya di Instagram kelab, officialjohor, berseloroh bahawa JDT sepatutnya mendapat 11 penalti sambil memuji persembahan Perak terutama penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

“Ref (pengadil) bagi satu saja penalti. Sepatutnya 11 penalti…dua penalti pada babak pertama Bergson dan Arif Aiman ref tak tiup wisel. Ini tidak adil. Haha…,” kata TMJ sambil berseloroh.

“Satu mata pun jadilah. Perak main bagus dan penjaga gol bagus. JDT main bagus pada babak kedua. Terbaik JDT dan terbaik Perak. Perlawanan seterusnya tolong bagi tujuh penalti.

SUMBER :BH