Marco gembira walau kalah

Kota Bahru: Meskipun tewas 0-1 ke atas Sarawak United FC dalam saingan Liga Perdana, petang semalam, namun Ketua Jurulatih TRW Kelantan FC, Marco Ragini tetap gembira dengan prestasi anak buahnya.

Ragini berkata, walaupun kecewa kemenangan tidak berpihak kepada mereka namun persembahan cemerlang yang ditunjukkan anak buahnya semalam menjadi kebanggaannya.

Katanya, ini kerana selepas mengharungi lima perlawanan, pemain semakin menunjukkan keserasian dan persefahaman sehingga memberi tentangan hebat kepada pelawat.

“Saya gembira bukan atas keputusan semalam tetapi transformasi yang ditunjukkan pemain kerana mereka menunjukkan persaingan dalam perlawanan ke atas pasukan yang jauh lebih berpengalaman.

“Saya tidak melihat perbezaan yang begitu besar walaupun kita pasukan baru, cuma Sarawak bertuah apabila mendapat gol hebat (gol jarak jauh) yang mungkin kita saksikan sekali sahaja dalam setahun perlawanan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan semalam.

Ragini berkata, peningkatan persembahan pemain dan penjaga gol wajar dipuji kerana mereka terlalu mentah berbanding pasukan lain yang kebanyakan terhasil daripada pasukan asal musim lalu.

“Kami masih memerlukan masa, dengan pemain yang kebanyakan baru beraksi kali pertama, saya juga masih belajar memahami peraturan kejuaraan ini, jadi persembahan hari ini (semalam) adalah yang paling terbaik kerana kita menentang pasukan yang teratas dalam liga.

“Cuma kami masih gagal mencapai kemenangan di laman sendiri dan saya difahamkan penyokong Kelantan adalah penyokong yang tegar, jadi kami akan lebih bersedia pada perlawanan akan datang untuk menang,” katanya.

Beliau berkata, ujian seterusnya sudah pasti pertemuan menarik antara Kelantan FC dan ‘adik’nya, Kelantan United Football Club (KUFC).

“Sejujurnya saya tidak bersetuju cara perlawanan dianjurkan, kerana diadakan dalam tempoh dekat, kita lawan tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari, banyak pemain cedera, kita faham situasi semasa Covid-19, namun keselamatan pemain perlu diutamakan,” katanya.

Sementara itu, Pengendali Sarawak United FC, E Elavarasan berkata, tuan rumah memang memberi tentangan hebat kerana kedua pasukan memburu kemenangan khususnya Kelantan yang beraksi di laman sendiri.

Katanya, peluang adalah 50-50 untuk pasukan menyamakan kedudukan meskipun Sarawak menjaringkan gol pertama pada minit ke 37.

“Perlawanan ini boleh seri pun sebab 1-0, sebab itu minit-minit akhir kedua pasukan takut buat silap, cuma kita bernasib baik dapat bertahan hingga minit 90 berbekalkan satu gol itu, jadi ini tiga mata berharga buat pasukan,” katanya.

Katanya, faktor perlawanan diadakan pada waktu petang juga sedikit sebanyak memberi cabaran buat pemain kerana jelas beberapa pemain daripada kedua pasukan mengalami kekejangan otot dan berdepan cuaca panas.

“Seawal minit 45 kita dah panas, tapi kita kena terima, jadi penting untuk kita dapat gol awal yang bagi nyawa yang baik, harap pemain dapat kekalkan persembahan tanpa kalah dan penjaga gol yang membuat ‘clean sheet’ dalam lima perlawanan.

“Cuma dalam liga, kita kena kekal konsisten jika nak jadi juara, walaupun berada di kedudukan kedua sekarang, saingan masih panjang, ada masa awak main bagus, awak menang, ada masa awak main bagus, awak kalah,” katanya.

sumber : metro arena