MANCHESTER UNITED BUKAN PENCABAR LIGA

MANCHESTER: Ole Gunnar Solskjaer menegaskan, Manchester United tidak harus dianggap pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini selepas dikecewakan dengan keputusan seri saat akhir menentang Everton hari ini.

Jaringan Dominic Calvert-Lewin di waktu kecederaan membantu Everton mengikat United 3-3 dalam perlawanan sengit di Old Trafford.

Red Devils mendahului 2-0 dan 3-2 sebelum dimusnahkan oleh jaringan Calvert-Lewin.

Kemenangan boleh meletakkan United berkongsi mata dengan pendahulu liga, Manchester City, namun kini mereka hanya menang sekali daripada empat aksi terakhir dan dua mata di belakang musuh sebandar itu.

City juga memiliki kelebihan dua perlawanan dan mereka akan berdepan juara bertahan, Liverpool tengah malam ini.

“Kami tidak sepatutnya dilabel sebagai pencabar gelaran. Itu (label) anda (media) yang buat. Kami perlu melakukan yang terbaik sebagai sebuah pasukan dan lihat di mana kami akan berada.

“Kami bagus ketika menyerang tetapi perlu berhenti melepaskan gol mudah.

“Kami tidak bercakap mengenai memenangi gelaran perjalanan masih jauh buat pasukan ini,” kata pengendali United, Solskjaer.

Everton melebarkan rentetan tanpa kalah kepada tujuh perlawanan, sekali gus membawa skuad kendalian Carlo Ancelotti ke kedudukan keenam, tiga mata dari kelompok empat teratas.

Jaringan United disempurnakan oleh Edinson Cavani pada minit ke-24, diikuti Bruno Fernandes (m45) dan Scott McTominay (m70).

Everton pula membalas menerusi Abdoulaye Doucoure (m49), James Rodriguez (m52) dan Calvert-Lewin, lima minit memasuki waktu kecederaan. – AGENSI

SUMBER UTUSAN MALAYSIA