LIVERPOOL TERSUNGKUR DILAMAN UNITED

LONDON: Sepakan percuma Bruno Fernandes mencetus kemenangan 3-2 Manchester United ke atas Liverpool pada pusingan keempat Piala FA Inggeris.

Fernandes meledak gol kemenangan itu ketika permainan berbaki 12 minit di Old Trafford sekali gus menyingkirkan Liverpool daripada saingan.

Liverpool kendalian Jurgen Klopp bermula baik apabila mendahului permainan menerusi Mohamed Salah di babak pertama, tetapi Mason Greenwood menyamakan kedudukan sebelum rehat.

Marcus Rashford meletakkan United di depan apabila perlawanan bersambung, dan walaupun Salah kembali menyamakan kedudukan, Fernandes yang masuk sebagai pemain gantian menewaskan penjaga gol Liverpool Alisson Becker menerusi sepakan percuma.

Selepas tergelincir ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris susulan kekalahan 1-0 di tangan Burnley – kekalahan liga pertama di Anfield sejak tahun 2017 – Liverpool terus buntu dalam mencari rentak kemenangan.

Juara Inggeris itu, yang ketinggalan enam mata di belakang pendahulu United, hanya menang sekali dalam tujuh perlawanan terakhir mereka – itupun ke atas skuad remaja Aston Villa pada pusingan ketiga Piala FA.

United kendalian Ole Gunnar Solskjaer akan bertemu West Ham pada pusingan kelima Piala FA.

“Ketika ketinggalan satu gol, tindak balas setiap orang adalah amat baik. Kami bermain dengan baik, gol yang bagus.

“Kami perlu bertahan dengan baik menentang mereka dan kami juga bertindak balas dengan baik,” kata Solskjaer.

Liverpool tidak pernah mara melepasi pusingan kelima di bawah kendalian Klopp, tetapi masalah lebih besar ialah mengembalikan skuadnya ke landasan kemenangan.

“Banyak perkara bagus dan juga beberapa kesilapan di kawasan gol. Jika anda mahu menang di sini, anda perlu di tahap terbaik dan kami tidak melakukannya,” kata Klopp. – AFP

SUMBER BERITA HARIAN