LAMPARD KECEWA TIDAK DIBERI MASA

LONDON: Frank Lampard menyatakan kekecewaan apabila tidak diberikan masa secukupnya selepas dipecat Chelsea malam tadi dengan bekas bos Paris Saint-Germain, Thomas Tuchel dijangka akan mengambil alih pasukan di Stamford Bridge.

Lampard mengetuai Chelsea ke kedudukan keempat Liga Perdana dan mara ke final Piala FA pada musim pertamanya.

Bagaimanapun dia gagal mencipta jangkaan lebih tinggi musim ini selepas kelab berkenaan membelanjakan £220 juta (RM1.217 bilion) membeli pemain baharu pada pasaran perpindahan pemain musim panas lalu.

Rentetan lima kekalahan dalam lapan perlawanan terakhir Liga Perdana menyebabkan Chelsea terjatuh ke tangga kesembilan, 11 mata di belakang pendahulu, Manchester United.

Kemenangan pada Piala FA, 3-1 mengatasi pasukan Liga Kejuaraan, Luton tidak cukup untuk menyelamatkan bekas pemain tengah England itu.

“Ia satu penghargaan dan penghormatan besar untuk menguruskan Chelsea, kelab yang menjadi sebahagian besar hidup saya untuk tempoh yang sangat lama,” kata Lampard dalam satu kenyataan menerusi akaun Instagram miliknya.

“Saya kecewa tidak diberikan masa musim ini untuk membawa kelab ke depan dan ke tahap seterusnya.”

Kelab berkenaan berkata, ia “keputusan sangat sukar” untuk berpisah dengan penjaring terbanyak sepanjang zaman mereka itu, yang menang tiga gelaran liga dan Liga Juara-Juara selama 13 tahun kariernya di Stamford Bridge.

Dalam pengumuman jarang dilakukan, pemilik kelab dari Russia, Roman Abramovich berkata: “Ini adalah keputusan yang sangat sukar buat kelab, bukan hanya kerana saya memiliki hubungan peribadi dengan Frank dan saya amat menghormatinya.

“Dia adalah lelaki yang memiliki integriti hebat dan etika kerja terbaik. Bagaimanapun, dalam keadaan ketika ini, kami percaya adalah yang terbaik untuk menukar pengurus.” – AFP

SUMBER BERITA HARIAN