KHIDMAT ALEX DITAGIH

Alor Setar : Hantaran cantik yang dihasilkan pemain berpengalaman Azamuddin Akil atau Alex untuk membantu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menghasilkan gol mampu menjadi senjata tersembunyi buat skuad Hijau Kuning pada perlawanan Liga Super menentang UiTM FC Sabtu ini.

Dia yang juga bekas pemain kebangsaan dilihat masih menyengat dan tonggak gantian berbisa yang kerap menjadi pilihan ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak untuk menambah kekuatan serangan buat Kedah

Dua hantaran cantik bagi membantu menghasilkan gol yang dilakukan pemain senior berusia 35 tahun ini sewaktu perlawanan KDA FC menentang Penang FC dan PJ City lalu ternyata membuahkan hasil yang dinantikan.

Menurut wakil jurucakap Kelab Hijau Kuning Fans Club (HKFC) Mohd Firdaus Azid, corak permainan Alex kini dilihat semakin meningkat serta berjaya membuktikan kemampuan sebagai seorang pemain ‘supersub’ yang menyerlah.

“Selain Ataya yang juga memainkan peranannya dengan baik, kami melihat sentuhan Alex menjadi watak pemusnah dalam membuat hantaran yang baik kepada penyerang bagi merobek gawang pasukan lawan.

“Kami berharap momentum ketajaman yang ditunjukkan Alex itu dapat terus memperkasakan pasukan Kedah untuk menghadapi perlawanan lebih mencabar selepas ini.

“Kombinasi dia bersama rakan lain juga dilihat berada pada tahap yang terbaik setiap kali percaturan gerakan dilakukan. Kami ucapkan selamat berjaya jaya buat Alex dan pasukan pada perlawanan seterusnya.” katanya.

Firdaus juga berkata nama Alex mungkin tidak banyak diperkatakan setiap kali perlawanan selain tumpuan hanya pada penyerang yang menghasilkan gol.

“Namun dengan pengalamannya mencetak lebih 30 gol dalam pembabitannya di Liga M dan pernah mewakili tujuh pasukan termasuk Pahang, JDT dan Selangor sebelum Kedah, sudah pasti kelibat dia dapat membuktikan sentuhan hantaran yang berkualiti dan jarang ada pada pemain lain.” katanya

SUMBER : HARIAN METRO