Kedah bedal Selangor

KUALA LUMPUR: Kedah terus mengejar Johor Darul Ta’zim (JDT) di kelompok teratas Liga Super selepas berjaya bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Selangor 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Lebih manis, dua jaringan yang dihasilkan Kpah Sherman dan Kipre Tchetche dalam tempoh enam minit membolehkan Helang Merah mengumpul 16 mata untuk kekal di kedudukan kedua, satu mata di belakang JDT.

Bagi Selangor pula, ia satu keputusan yang menyedihkan buat mereka yang dicanang sebagai pencabar kejuaraan musim ini selepas hanya mengumpul lapan mata dalam tujuh perlawanan.

Lebih mengecewakan apabila Red Giants terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Oliver Buff yang menyempurnakan hantaran Danial Asri pada minit ke-33.

Kebangkitan Kedah bermula pada minit ke-79 apabila Sherman menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti selepas dia dijatuhkan Tim Heubach.

Hanya enam minit kemudian, Tchetche mengecewakan Red Giants di ‘kandang’ sendiri apabila meledak gol kemenangan Helang Merah selepas menyudahkan hantaran Azamuddin Akil.

sumber : BH