KEAJAIBAN POGBA

LONDON: Paul Pogba kembali ke tahap terbaik buat Manchester United tepat pada masanya ketika pendahulu Liga Perdana itu bersedia bagi pertembungan Piala FA awal pagi Isnin ini menentang seteru utama, Liverpool.

Pogba sentiasa menjadi sebab pergeseran bersama United dan sebelum ini ada laporan mengatakan dia mahu berhijrah pada penamat musim.

Mino Raiola, ejen pemain tengah Perancis itu mencetuskan kemarahan pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer pada Disember apabila dalam temubual mengatakan Pogba mahu meninggalkan kelab itu kerana “tidak gembira” kurang diberi kebebasan di Old Trafford.

Pada ketika itu, prestasi Pogba sangat teruk dan keputusan dicapai pasukannya membimbangkan sehingga sebahagian penyokong United mungkin gembira membantunya keluar dari kelab itu.

Bagaimanapun, Pogba dan United tanpa dijangka kembali ke tahap terbaik.

Akhirnya dia menunjukkan tanda kembali fokus kepada bola sepak berbanding imej dan kehendak komersil, Pogba memainkan peranan penting kebangkitan United ke persada Liga Perdana.

Pogba membalas kepercayaan terhadapnya dengan menjaringkan gol kemenangan United berdepan Burnley diikuti Fulham Rabu lalu.

Selepas seri dalam pertembungan Liga Perdana di Anfield pada 17 Januari, United kini berpeluang menambah tekanan psikologi terhadap Liverpool apabila mereka berkunjung ke Old Trafford pada pusingan keempat Piala FA awal pagi Isnin ini.

Persoalan utama setiap orang di United ialah sama ada Pogba boleh mengekalkan persembahan terbaiknya.

Apa sahaja sebab kebangkitan semula Pogba, Solskjaer pastinya mendapat manfaat kerana berjaya meletakkan minda positif terhadap pemain tengah panas baran itu.

“Dia sedang meraikan bola sepak, dia gembira. Mentalnya sangat gembira dan secara fizikal dia berada di tahap terbaik dan kita semua tahu mengenai bakatPOQBA yang ada padanya,” kata Solskjaer. – AFP

sumber berita harian